X
Isnin, 15 Julai 2019 | 1:16pm

Sistem MyIMMs berlaku manipulasi, perlu siasatan segera

KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 mendapati berlaku manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara.

Berdasarkan audit, ada manipulasi pada sistem MyIMMs, yang mana kuota diwujudkan kepada 123 syarikat untuk membawa pekerja asing adalah kelulusan palsu.

Analisis laporan audit mendapati seramai 21,378 pekerja asing daripada 32,424 kuota yang diwujudkan secara tidak teratur, mendapat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Anggaran perkiraan Audit bayaran levi kali pertama sepatutnya dapat dikutip bagi 21,378 pekerja asing ini adalah RM24.55 juta, bagaimanapun ia satu kehilangan hasil kepada kerajaan disebabkan wujud dan kelulusan kuota tidak teratur dan mungkin berlaku penipuan bagi kelulusan itu.

“Pihak Audit meneliti maklum balas daripada Jabatan Imigresen dan berdasarkan analisis terhadap data MyIMMs, berlaku manipulasi dan kemungkinan ‘fraud’ dalam sistem MyIMMs bagi kelulusan kuota pekerja asing yang memerlukan siasatan segera diambil,” kata laporan itu seperti yang diumum hari ini.

Laporan itu berkata, bagi tujuan pengesahan kuota dan bayaran levi kali pertama, data sistem MyIMMs dianalisis bagi tempoh 2016 hingga tahun 2018.

Hasil analisis mendapati 32,424 kuota pekerja asing yang diwujud dan diluluskan kepada 123 majikan serta bayaran levi kali pertama berjumlah RM40.79 juta dilakukan secara tidak teratur dan meragukan.

“Semakan Audit mendapati kewujudan, kelulusan dan bayaran levi tidak dilakukan di Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Bahagian Pengurusan Pekerja Asing (BPPA) Kementerian Dalam Negeri (KDN), sebaliknya direkodkan di 10 Bahagian atau Jabatan Imigresen negeri yang tidak mempunyai kuasa.

“Pengenalan diri (ID) pegawai yang mewujud, melulus dan menerima bayaran levi adalah ID pegawai Jabatan Imigresen yang tidak mempunyai kebenaran melaksanakan semua peranan terbabit.

“Peranan ini hanya boleh diakses oleh pegawai di BPPA KDN saja, ini menunjukkan kewujudan dan kelulusan kuota adalah tidak teratur serta pembayaran yang direkodkan adalah maklumat palsu yang diadakan secara dalam sistem bagi tujuan memperoleh PLKS untuk membolehkan pekerja asing dibawa masuk,” katanya.

Berita Harian X