Isnin, 15 Julai 2019 | 2:38pm
PUTRAJAYA 12 JUN 2019. (UNTUK HARIAN METRO) Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. NSTP/Luqman Hakim Zubir

Kerajaan perlu tegas tangani arak didakwa tanpa alkohol - Mufti

KUALA LUMPUR: Isu penjualan satu produk baharu minuman keras dikatakan tanpa alkohol yang dilihat mengelirukan umat Islam, perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib dan semua pihak.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata kerajaan sewajarnya mempunyai satu polisi yang jelas dan tegas dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, dalam perspektif Siyasah Syar’iyyah, adalah menjadi tugas dan kewajipan pihak berkuasa membuang dan mencegah segala kemungkaran dan menghalang terjadinya sebab-sebab kemungkaran itu.

“Apa yang menjadi kegemparan adalah apabila minuman keras tanpa alkohol itu dipromosikan dengan giat oleh pihak yang berkenaan dengan menggunakan tagline yang mengelirukan iaitu “Now you can.”

“Dengan tagline itu dan minuman itu pula diletakkan pula berhampiran dengan produk halal yang lain, ia menimbulkan kekeliruan kerana seolah-olah menggambarkan produk terbabit berstatus halal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Zulkifli berkata, umat Islam juga wajib menggunakan kuasa sebagai pengguna Muslim yang bijak untuk menjauhkan diri daripada apa jua bentuk produk meragukan.

“Apatah lagi produk itu jelas mempunyai hubungan dengan perkara yang dilarang syarak seperti arak.

“Bagi pengusaha syarikat arak pula, jangan sekali-kali melakukan sebarang usaha untuk mempromosi atau menormalisasikan minuman arak khususnya kepada umat Islam.

“Perbuatan itu hanya akan menimbulkan kekeliruan di samping menyentuh sensitiviti umat Islam,” tegasnya.

Katanya, sebarang produk yang dikeluarkan oleh syarikat arak hendaklah dipamerkan status tidak halal dan diletakkan di tempat khas, terasing daripada produk halal.

“Semua pengusaha produk seperti minuman atau makanan yang boleh menimbulkan sebarang keraguan, hendaklah merujuk terlebih dahulu kepada badan berkuasa seperti Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

“Akhir sekali, kami menyeru kepada pihak kerajaan agar menyediakan satu polisi yang jelas dan tegas dalam menangani isu sedemikian,” kata beliau.

Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan bahawa pengeluaran produk sedemikian adalah tidak wajar dan mengelirukan.

Ini kerana proses penghasilan minuman itu, termasuk penyulingan air, dibuat dalam kerangka menghasilkan arak.

Justeru, beliau menasihati pengguna Islam supaya tidak membeli atau menggunakan sebarang produk yang diragui status halalnya.

Berita Harian X