Isnin, 15 Julai 2019 | 3:38pm
Mohamed Nazri ditemuramah wartawan ketika menghadiri Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Azhar Ramli

Saya bukan punca MCA gagal tarik undi Cina - Nazri Aziz

KUALA LUMPUR: Undi kaum Cina tidak berpihak kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) lalu kerana MCA gagal menarik sokongan kaum itu.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata hakikat itu dengan sendirinya menepis dakwaan mengaitkan kritikan beliau terhadap ahli perniagaan, Tan Sri Robert Kuok, sebagai punca kekalahan BN.

Katanya, dakwaan bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak, selepas dimaklumkan oleh MCA itu adalah tidak benar.

Mohamed Nazri berkata, kenyataannya mengenai Kuok adalah mempertahankan apa yang diperkatakan Najib mengenai ahli perniagaan itu, awal tahun lalu.

“Beliau (Najib) terlebih dulu membuat kenyataan mengenai Kuok dan saya hanya mempertahankannya tetapi akhirnya kita tahu Kuok menyokong DAP.

“Dalam soal MCA, parti itu kalah bukan kerana kenyataan saya. Mereka kalah kerana masyarakat Cina tidak sokong sejak 2004, daripada 37 kepada 15 kerusi pada 2008 dan pada 2013, tinggal tujuh kerusi, sehingga sekarang.

“Trend masyarakat Cina tidak sokong MCA sudah ada dan ia tidak ada kaitan dengan kenyataan saya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Najib dilaporkan berkata, MCA memaklumkan kaum Cina tidak mengundi BN pada PRU lalu kerana kritikan Mohamed Nazri terhadap Kuok.

Kuok sebelum ini didakwa menyalurkan dana kepada DAP ketika pentadbiran kerajaan terdahulu dan ia mengundang kritikan pemimpin ketika itu termasuk Mohamed Nazri.

Mengenai ramai ahli UMNO yang menyokong pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Mohamed Nazri berkata, masing-masing mempunyai pendapat sendiri.

“Saya ada pandangan sendiri dan tidak mewakili parti. Saya hanya Ketua UMNO Padang Rengas dan UMNO mengamalkan demokrasi.

“Justeru, apa salahnya kita mengkritik sebahagian tindakan yang diambil parti terutama yang dibuat tanpa berunding dengan Majlis Kerja Tertinggi UMNO,” katanya.

Berita Harian X