Selasa, 16 Julai 2019 | 1:11pm
Dr Mahathir membentangkan rang undang-undang pindahan had umur 18 tahun untuk layak mengundi ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Pengundi cecah 22.7 juta menjelang 2023 - PM

KUALA LUMPUR: Jumlah pengundi dijangka meningkat kepada 22.7 juta menjelang tahun 2023 sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, peningkatan lebih 50 peratus berbanding 14.9 juta yang direkodkan menerusi daftar pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekali gus berupaya membuka ruang untuk golongan muda terbabit dalam mencorak kepemimpinan negara.

“Atas cadangan barisan pembangkang, kerajaan bersetuju melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik, justeru membolehkan semua warganegara Malaysia apabila berumur 18 tahun layak mendapat hak mengundi.

“Mereka tidak lagi perlu memohon untuk didaftar sebagai pemilih dan memudahkan proses kerana rakyat Malaysia memang sudah berdaftar apabila berumur 12 tahun.

“Langkah ini bertujuan memberi peluang, ruang dan suara kepada mereka supaya bersama-sama berganding bahu mencorak demokrasi negara melalui pilihan raya,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU yang mempunyai empat fasal itu antara lain bertujuan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan umur warganegara dipilih menjadi ahli Dewan Rakyat, daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan lain membabitkan perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 peruntukan sama untuk menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai rakyat Malaysia diberikan hak dalam mencorak kepemimpinan negara.

Selain itu, RUU berkenaan mengemukakan cadangan pindaan takrif ‘tarikh kelayakan’ dalam perenggan (b) Fasal 4 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan maksud tarikh seseorang didaftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pemilih dalam pilihan raya.

Menerusi pindaan itu, seorang warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan layak mengundi akan didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Cadangan pindaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat turut membabitkan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan syarat kelayakan umur seseorang warganegara menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 kepada 18 tahun.

Menyentuh perkara berbangkit, Dr Mahathir berkata, beberapa pindaan susulan harus dilakukan, merangkumi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 sekiranya RUU terbabit diluluskan.

“Bagi membolehkan penurunan had umur calon ADUN dilaksanakan, kerajaan negeri disaran membuat pindaan terhadap peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Negeri atau Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing.

“Kita menyeru dan berkeyakinan penuh kerajaan negeri akan menyokong pindaan ini dan turut meminda peruntukan berkaitan,” katanya.

Mengulas pendaftaran pengundi secara automatik menjelang usia 18 tahun, Dr Mahathir berkata, SPR berperanan memberi kesedaran proses demokrasi seawal di peringkat sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi.

Katanya, SPR bagaimanapun memerlukan tempoh sesuai untuk memastikan kelancaran proses kerja berkaitan susulan langkah pendaftaran pengundi dalam daftar pemilih secara automatik menjelang usia 18 tahun.

“Sesungguhnya kita sebagai manusia sentiasa diuji. Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan kini diuji dengan kuasa dan mandat besar diberikan rakyat.

“Blok pembangkang pula sedar perlunya mereka tegur kerajaan jika ada apa-apa yang perlu ditegur.

“Saya harap kita sama-sama memastikan pindaan ini diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga dan mencipta sejarah baharu Malaysia.

“Sesungguhnya demokrasi masih hidup di Malaysia, dikuatkan dengan tenaga dan akal fikiran anak muda,” katanya.

Berita Harian X