Selasa, 16 Julai 2019 | 3:09pm

Giliran menunggu haji 116 tahun

KUALA LUMPUR: Kerajaan terus berunding dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan kuota menunaikan haji ditambah dalam usaha memendekkan tempoh giliran menunggu yang kini dicatat pada kadar 116 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, berkata pada masa sama, Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada mereka yang pertama kali menunaikan rukun Islam kelima itu.

Sebelum ini, katanya, mereka yang pernah menunaikan haji diberi peluang kedua untuk mendaftar semula bagi mendapat giliran ke Tanah Suci.

“Dalam aspek kuota haji, kuota rasmi Malaysia ialah 30,200 tempat, sejajar populasi negara ini.

“Memang benar senarai menunggu bagi mereka yang mendaftar haji mengambil tempoh panjang.

“Malah, mereka yang mendaftar haji pada Julai ini, tempoh giliran menunggu adalah 116 tahun dan sudah tentu kita mahu memendekkannya.

“Selain berunding mendapatkan kuota tambahan, kita ada pelan lain dengan memberi keutamaan jemaah yang pertama kali menunaikan haji kerana kuota ini tertakluk kepada kerajaan Arab Saudi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff dalam soalannya mahu mengetahui kuota haji dan tempoh giliran menunggu bagi mereka yang sudah mendaftar dengan Tabung Haji.

Fuziah berkata, langkah memendekkan tempoh penggiliran dengan memberi keutamaan kepada jemaah kali pertama adalah langkah terbaik menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, ia berikutan formula kuota ditetapkan kerajaan Arab Saudi berdasarkan jumlah penduduk sesebuah negara .

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Abdul Latif mengenai perbezaan duit pendeposit Tabung Haji selepas pengumuman bonus, Fuziah berkata, keyakinan mereka kekal selepas pengumuman hibah 2018 dengan 46,000 pendeposit baharu direkodkan antara April hingga Jun lalu.

Katanya, jumlah pendeposit baharu Tabung Haji antara Januari hingga Mei dicatat pada 133,000 orang dengan deposit baharu berjumlah RM83 juta.

“Selepas penstrukturan semula dan pelan pemulihan diperkenalkan, tidak berlaku pengeluaran luar biasa sehingga Jun lalu dan ini menggambarkan pendeposit kekal dengan Tabung Haji.

“Mengenai pengeluaran dan simpanan, alirannya sama seperti tahun-tahun sebelumnya iaitu pengeluaran lebih tinggi selepas hibah diberikan.

“Jumlah simpanan pendeposit sebelum pengumuman hibah adalah RM74.1 bilion dan jumlahnya berkurangan kepada RM71.1 bilion pada 31 Mei lalu,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latif mengenai jaminan kadar hibah dinaikkan selepas pelan pemulihan dan penstrukturan semula Tabung Haji, Fuziah berkata, ia hanya berlaku jika dua syarat dipatuhi iaitu aset melebihi liabiliti hutang dan keuntungan diperoleh.

“Alhamdulillah, selepas pelan pemulihan dan penstrukturan semula, aset Tabung Haji melebihi liabiliti dan kita membuat sedikit keuntungan.

“Insya-Allah, tahun depan kita jangkakan kadar lebih tinggi,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mustapa Mohamad (PH-Jeli) mengenai pengumuman prestasi Tabung Haji kepada umum bagi setiap enam bulan, Fuziah berkata, ia akan dipanjangkan kepada Tabung Haji.

Berita Harian X