Selasa, 16 Julai 2019 | 7:27pm
PENGERUSI Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Blok Utama Bangunan Parlimen. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

'Korporat jangan perleceh graduan B40'

KUALA LUMPUR: Syarikat swasta dan korporat ditegur supaya tidak mendiskriminasi graduan daripada keluarga B40 yang memohon pekerjaan hanya kerana kelemahan penguasaan bahasa Inggeris.

Sebaliknya, golongan itu harus diberi peluang bekerja dan diberi latihan intensif bagi memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris, sekali gus dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan graduan.

Teguran itu disuarakan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan diskriminasi terhadap golongan berkenaan akan meningkatkan bilangan siswazah menganggur di negara ini.

“Syarikat swasta nampaknya enggan mengambil siswazah kategori ini dan alasan sering dikemukakan adalah kerana kelemahan bahasa Inggeris.

“Bagi korporat besar, apalah susahnya mereka memberi latihan intensif dalam bahasa Inggeris selama dua minggu kerana mereka ada asas (bahasa Inggeris) yang baik, sebelum memulakan pekerjaan.

“Saya harap sektor swasta tidak terlalu leceh dan pandang rendah kerana ia akan membebankan sumber golongan rakyat yang ditimpa kesusahan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kaukus itu di bangunan Parlimen, hari ini.

BH pada 7 Julai lalu melaporkan, peluang melanjutkan pelajaran di menara gading kini bukan lagi jaminan bagi anak keluarga miskin dan kelompok kumpulan pendapatan isi rumah terendah B40, untuk mengubah nasib keluarga serta diri.

Berbekalkan diploma dan ijazah dimiliki selepas dua hingga empat tahun pengajian, peluang mereka memperoleh pekerjaan bergaji setimpal kelulusan kelihatan semakin sukar, melainkan jika berpeluang menyertai perkhidmatan awam.

Situasi itu menyebabkan peningkatan jumlah graduan dan siswazah menganggur, selain ramai terpaksa menceburi pekerjaan bukan bidang pengajian, selain dibayar gaji atau imbuhan tidak setimpal kelulusan dimiliki.

Sementara itu, Anwar berkata, usaha berterusan menerusi pelan jangka panjang yang berkesan perlu dirangka untuk meningkatkan penguasaan pelajar menguasai bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

“Masalah lemah bahasa Melayu juga berlaku, selain lemah bahasa Inggeris.

“Justeru, perlu ada pelan jangka panjang untuk fokus kepada penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris,” katanya.

Berita Harian X