Selasa, 16 Julai 2019 | 7:34pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika sidang media selepas rang undang - undang pindahan had umur 18 tahun untuk layak mengundi di luluskan didalam Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 lulus

KUALA LUMPUR: Sejarah baharu tercipta hari ini apabila Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

Lebih manis, RUU yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu diluluskan genap setahun selepas Dewan Rakyat bersidang buat pertama kali di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Selepas dibahaskan kira-kira lima jam oleh Ahli Parlimen mewakili blok kerajaan dan pembangkang, proses undi belah bahagian dimulakan pada jam 6.24 petang selepas Dr Mahathir selesai membuat penggulungan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, kemudian mengumumkan undi belah bahagian merekodkan 211 Ahli Parlimen bersetuju, tiada yang membangkang dan tiada yang tidak mengundi.

Pengumuman itu membuatkan Dewan Rakyat gemuruh dengan tepukan meja semua Ahli Parlimen.

Pengundian kali kedua kemudian dijalankan selepas bacaan kali ketiga dan Mohamad Ariff sekali lagi mengumumkan keputusan sama, sekali gus menyaksikan RUU berkenaan diluluskan tanpa pindaan.

Mohamad Ariff turut mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang mengetepikan latar belakang ideologi politik dalam menyuarakan sokongan padu ke arah usaha memperkasa suara golongan muda di negara ini.

“Tahniah Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan semua ahli Dewan kerana melakar sejarah hari ini, iaitu tepat setahun Parlimen bersidang,” katanya, hari ini.

RUU berkenaan meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warga negara yang layak mengundi menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan itu turut bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warga negara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Berita Harian X