Rabu, 17 Julai 2019 | 12:56pm

Kementerian Pendidikan kumpul pandangan mengenai PPSMI

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang melaksanakan kajian terperinci berkaitan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Sambil menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pihaknya akan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat berhubung berhubung isu berkenaan.

Katanya, ia termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.

“Kementerian sememangnya sedang melaksanakan kajian terperinci berhubung perkara ini dengan mendapatkan pandangan menyeluruh masyarakat termasuk meneliti aspek penerimaan, kesediaan, mekanisme dan strategi berkaitan.

“Kementerian juga sentiasa komited untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam kalangan anak-anak kita supaya mampu membentuk generasi kalis masa depan.

“Saya juga ingin menegaskan, semua keputusan yang akan diambil kelak adalah berdasarkan kepada keperluan dan kepentingan anak-anak Malaysia seluruhnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Dr Mahathir ketika menjawab soalan Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat, berkata kerajaan mengkaji pelaksanaan semula dasar PPSMI menggunakan sistem baharu.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, menerusi sistem dengan penggunaan teknologi maklumat (IT) itu, pengajaran guru terbaik akan direkodkan untuk digunakan di semua sekolah.

Dengan penggunaan IT, katanya, kecekapan guru terbaik dapat dikongsi semua murid dan mencapai hasil hampir sama.

Kementerian Pendidikan juga, kata Perdana Menteri, mengambil kira kepentingan penguasaan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Inggeris kerana bahasa antarabangsa itu diperlukan untuk pengurusan dan perindustrian.

Berita Harian X