Rabu, 17 Julai 2019 | 2:14pm
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pampasan, lebihan bayaran TSGP belum muktamad

KUALA LUMPUR: Jumlah pampasan dan sebarang lebihan bayaran bagi projek Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) belum dapat dimuktamadkan buat masa ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, menjelaskan sesi rundingan membabitkan pelbagai pihak masih dijalankan, justeru penentuan mengenai pampasan dan lebihan bayaran tidak dapat diselesaikan.

Sebaik dimuktamadkan, katanya, Jabatan Peguam Negara akan mengesyorkan langkah terbaik bagi menuntut sebarang lebihan bayaran.

“Sesi rundingan antara entiti komersial Malaysia-China iaitu Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dengan kontraktor projek, China Petroleum Pipeline Bureau dan pembiayai, China EXIM Bank masih berlangsung.

“Pada masa sama, rundingan antara Malaysia yang diketuai Jabatan Peguam Negara dan wakil kementerian berkaitan dengan kerajaan China turut berlangsung.

“Ia bagi memastikan kepentingan dan hubungan erat antara kedua-dua negara terus kekal utuh,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) mengenai usaha kerajaan menuntut kembali RM3.54 bilion bayaran dibuat pentadbiran terdahulu kepada TSGP selepas membatalkan projek terbabit.

Menjawab soalan tambahan Foong Hin berhubung kemungkinan kesan pembatalan projek itu menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia-China, Guan Eng berkata, sebarang tindakan adalah bersandarkan perihal syarikat, bukan negara.

Katanya, pendirian Malaysia demi menjaga kepentingan hak rakyat di negara ini turut difahami kerajaan China, justeru kebimbangan bahawa pembatalan projek berupaya menjejaskan hubungan diplomatik sebenarnya tidak timbul.

“Apa yang kita tidak faham ialah mengapa pembayaran dibuat berkadar 88 peratus, sedangkan hanya 13 peratus kerja disiapkan bagi projek berkenaan.

“Itu satu kemusykilan dan kita masih tidak dapat pencerahan lagi,” katanya.

Berita Harian X