Khamis, 18 Julai 2019 | 1:37pm
Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Seri Aziz Abdullah. - Foto Zain Ahmed

Jurutol tambah nilai dikurangkan berperingkat

TAIPING: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dijangka meminimumkan penggunaan jurutol di lorong tunai secara berperingkat bagi merealisasikan Malaysia menjadi negara maju.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Aziz Abdullah, berkata tindakan itu bertujuan mengurangkan kadar kesesakan di lorong tunai ketika waktu puncak selain bertujuan menggalakkan pengguna menggunakan aplikasi tambah nilai serta kemudahan elektronik disediakan.

“Sememangnya kita merancang membentuk lebuh raya seperti negara maju yang hanya ada tiang palang saja seperti di luar negara.

“Dalam masa sama ia dijangka dapat mengurangkan kadar kesesakan di setiap lorong tunai setiap kali waktu puncak dan cuti umum.

“Bagi menjadikan lebuh raya Malaysia ke arah itu, kita sedang berusaha meminimumkan pekerja di lorong tunai di setiap negeri,” katanya selepas merasmikan Pesta Durian di Hentian Bukit Gantang arah utara, Lebuhraya Utara Selatan, hari ini.

Aziz berkata, jurutol sedia ada bagaimanapun tidak akan dibuang sewenang-wenangnya tetapi ditempatkan di bidang pekerjaan lain di syarikat berkaitan atau LLM.

“Kita mempunyai dasar tersendiri dan tidak akan membuang pekerja sebaliknya mereka akan ditempatkan di bahagian lain,” katanya.

Katanya, sehingga kini pihaknya mendapati lebih 80 peratus pengguna lebuh raya sudah mula menggunakan aplikasi dan kemudahan elektronik untuk tambah nilai.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Aziz berkata pihaknya dimaklumkan ia sudah 70 peratus siap dengan dua atau tiga seksyen laluan lagi bakal dibuka pada September ini.

Berita Harian X