Khamis, 18 Julai 2019 | 7:40pm
MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu (kanan) pada sidang media Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran ATM peringkat Melaka / Negeri Sembilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC). NSTP/Khairunisah Lokman

Cadang Elaun Kenangan hargai jasa penerima PJM

AYER KEROH: Kementerian Pertahanan berharap cadangan Memorandum Elaun Kenangan kepada hampir 70,000 penerima dan bakal penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diluluskan bagi menghargai jasa mereka yang berkhidmat untuk negara semasa zaman darurat.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata kementeriannya sudah menghantar cadangan itu kepada Kementerian Kewangan sebelum ini, namun berharap ia diberi perhatian dan dibentangkan untuk diluluskan pada peringkat Kabinet dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap mereka (penerima PJM) diberi sedikit imbuhan untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik di samping mengenang jasa mereka semasa darurat.

“Kita akan lihat pada bajet kewangan (tahun hadapan), Oktober depan sama ada lulus atau tidak, namun kita akan tetap berusaha untuk memohon kepada Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memakaikan pingat PJM kepada 507 penerima veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sempena Penganugerahan PJM 2019 peringkat negeri, di Hotel Mudzaffar di sini, hari ini.

Bagaimanapun, nilai elaun yang akan diberikan itu belum diputuskan berikutan ia bergantung pada peruntukan yang diluluskan nanti.

Mohamad berkata 27,109 veteran ATM menerima PJM setakat ini manakala veteran yang layak dan belum dianugerahkan, akan menerima pengiktirafan itu pada masa akan datang.

Sementara itu, katanya, Bantuan Harapan Negara (BHN) 2019 bagi fasa pertama membabitkan peruntukan RM47.5 juta sudah diagihkan kepada 95,110 veteran manakala bakinya dibayar secara berperingkat sehingga Oktober ini.

Mengulas mengenai projek Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) bermasalah, seperti dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), Mohamad berkata kementeriannya bertanggungjawab terhadap laporan berkenaan.

“Mengenai pemaju (RKAT), sama ada melakukan penyelewengan, (mengesan) bukan tugas kita, sebaliknya bergantung (siasatan) kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bukan kementerian untuk ‘point’ (menyalahkan) sesiapa,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kementerian akan memohon peruntukan tambahan bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan RKAT susulan laporan itu mendedahkan objektif projek tidak tercapai sepenuhnya dalam menyediakan rumah kondusif dan selamat untuk anggota tentera.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menggesa segenap lapisan masyarakat menjayakan kempen Tabung Pahlawan yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk menyumbang dana kepada kempen ini demi kesejahteraan veteran ATM,” katanya.

Berita Harian X