Jumaat, 19 Julai 2019 | 4:34pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar melawat tapak pameran pada Majlis Kerjasama Strategik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional Ke Program Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar melawat tapak pameran pada Majlis Kerjasama Strategik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional Ke Program Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Alor Gajah, hari ini. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

Cadang bina Bandar TVET di Tanjung Malim

ALOR GAJAH: Kementerian Sumber Manusia bercadang membangunkan bandar pintar yang lengkap dengan kemudahan pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Tanjung Malim, Perak.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata bakal dikenali sebagai ‘Bandar TVET’, cadangan itu dijangka menjana inovasi pemikiran dalam kalangan golongan muda ke tahap maksimum.

Katanya, beliau sudah membawa cadangan itu kepada Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan perbincangan lanjut mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

“Saya mengimpikan sebuah bandar pintar dan bersepadu dikenali Bandar TVET di Malaysia dan di dalamnya mempunyai universiti dan pusat industri sesuai dengan keperluan yang disasarkan di bawah program TVET.

“Sudah sampai masanya pemikiran anak muda berada pada satu tahap setanding masyarakat dunia dengan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar produk ciptaan kita sendiri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kerjasama Strategik Artikulasi Program Diploma Kemahiran dan Vokasional Ke Program Sarjana Muda Teknologi dan Jerayawara Program Sarjana Muda Teknologi di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Ladin dan Naib Canselor UTeM, Prof Dr Raha Abdul Rahim.

Sebelum ini, ketika berucap pada Persidangan TVET di Putrajaya, Mahfuz pernah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan Bandar Integrasi TVET, sekali gus menjadi pusat sehenti kepada kawal selia dan tadbir urus sekali gus berfungsi sebagai peneraju TVET di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kewujudan bandar itu bergantung kepada kejayaan program MTUN yang membabitkan empat Universiti Awam (UA) iaitu UTeM, Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

“MTUN menawarkan 10 program Sarjana Muda Teknologi (BTech) membabitkan Pembinaan Bangunan, Penyejukan dan Penyamanan Udara Industri, Hospitaliti, Pemesinan Industri, Kimpalan, Automotif, Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Automasi Elektronik Industri, Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

“Program ini dibangunkan khas untuk pelajar aliran kemahiran dan teknologi menerusi kerjasama strategik empat UA itu bersama kapten industri, Bahagian Kecemerlangan Akademik Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Lembaga Teknologi Malaysia, Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional dan Bahagian Kurikulum MARA,” katanya.

Berita Harian X