Jumaat, 19 Julai 2019 | 7:43pm
Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (dua dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor (dua dari kiri) ketika melancarkan Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran NSTP di Pusat Beli Belah Aeon Bandaraya Melaka. - NSTP/Khairunisah Lokman

MyRumah 2019 di Melaka bermula

MELAKA: Siri kedua pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) bermula hari ini di pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka di sini, yang mempamerkan lebih 12 projek perumahan di sekitar negeri ini dan Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata pameran yang akan berlangsung selama tiga hari itu menawarkan sejumlah 2,653 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2016, MyRumah bekerjasama dengan 60 syarikat pemaju perumahan tempatan dan 19 syarikat bukan pemaju.

“Ia menggabungkan konsep 4P iaitu elemen pameran, pengalaman, pendidikan dan persekitaran. Saya menyeru orang ramai untuk singgah ke MyRumah 2019 di Melaka dan dapatkan penjelasan lebih lanjut daripada penceramah hartanah yang dijemput,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada pelancaran Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Turut hadir, Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong; Pengurus Besar Pengiklanan, Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew; Ketua Pengiklanan Wilayah & Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) NSTP, S Linggaraj.

Pameran MyRumah turut disokong oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),

Pameran siri pertama diadakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu. Selepas ini, pameran MyRumah akan diadakan di Johor Bahru (Ogos), Kuantan (September), Shah Alam (Oktober) dan Ipoh (November).

Pameran bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

Siri kedua MyRumah 2019 kali ini menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah sekitar wilayah selatan dengan menawarkan hartanah pada harga serendah RM180,000 sehingga RM679,000.

Pameran turut menampilkan tujuh pemaju hartanah utama iaitu Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Faithview Group Development Sdn Bhd; Handal Group; Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan Melaka (LPM); Scientex Height Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB).

Ia turut disertai oleh Takaful Ikhlas Berhad.

Pembeli rumah berpeluang memenangi sebuah kereta Nissan Almera. Pameran juga menampilkan barisan penceramah hartanah terkemuka tanah air yang memberikan tips membeli kediaman dan pelaburan hartanah.

Sementara itu, Pegawai Tadbir LPM, Abd Majid Mohd Nasir, berkata rakyat Malaysia khususnya yang berpendapatan isi rumah RM8,000 sebulan atau M40 wajar merebut peluang ke pameran hartanah ini, sekali gus meninjau pelbagai projek perumahan pada harga berpatutan.

“Malah, kaunter LPM di pameran hartanah MyRumah turut menyediakan senarai projek Rumah Mampu Milik (RMM) di Melaka yang boleh dimiliki pada harga cukup RM180,000 dan ke bawah.

“Petugas LPM sedia untuk memberikan khidmat bantuan serta nasihat bagi memahami cita rasa pembeli untuk memiliki kediaman idaman,” katanya.

Pengurus Projek SPNB, Mohamad Ismail Basiron, berkata ini kali kedua syarikat itu menyertai pameran hartanah MyRumah, sekali gus bersemangat untuk menawarkan dua projek perumahan baharu iaitu di Taman Sutera Wangi Fasa 3, Batu Berendam serta Taman Kelubi Idaman, Jasin.

“Bagi projek Taman Sutera Wangi Fasa 3, dua jenis kediaman ditawarkan iaitu semi-D dua tingkat serta banglo setingkat pada harga bermula RM580,000 dan RM650,000.

“Taman Kelubi Idaman pula menawarkan kediaman teres dua tingkat dan rumah bandar (townhouse) masing-masing pada harga RM250,000 dan RM160,000,” katanya.

Berita Harian X