Jumaat, 19 Julai 2019 | 7:58pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tiga dari kanan) ketika majlis pelancaran Program Food Bank Malaysia @Pasar Tani di Putrajaya, hari ini. -NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pasar tani sumbang lebihan makanan, sokong program Food Bank Malaysia

PUTRAJAYA: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diumumkan sebagai agensi pertama kerajaan menyokong program Food Bank Malaysia (PFBM) dengan menjadikan pasar tani sebagai penyumbang lebihan makanan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PFBM @Pasar Tani itu akan dimulakan di pasar tani terpilih yang mana Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menjadi projek perintis sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

Beliau berkata, antara kategori produk jualan yang disumbangkan adalah sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit.

“Kita sasarkan anggaran sumbangan lebihan makanan antara lima hingga 10 peratus bagi satu pasar tani.

“Bagi peniaga, mereka tahu corak perniagaan mereka jadi mereka boleh beri sumbangan pada awal ataupun akhir jualan,” katanya selepas pelancaran program Food Bank Malaysia @Pasar Tani di sini, hari ini.

PFBM diperkenalkan sebagai satu inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan bantuan bekalan makanan daripada lebihan makanan.

Pelaksanaan PFBM adalah selari dengan matlamat United Nation Sustainable Development Goals (SDG) 12.3, iaitu mencapai pengurangan setengah daripada lebihan makanan keseluruhan yang dikeluarkan industri peruncitan dan pengguna pada 2030.

Konsep program ini adalah dengan menyelamatkan lebihan makanan yang masih boleh dimakan melalui pengumpulan daripada penyumbang iaitu pasar raya, pengilang, pengusaha makanan, hotel dan syarikat korporat.

Saifuddin berkata, sebanyak 500 kilogram sumbangan makanan dikumpulkan semalam daripada Pasar Tani Kekal Selayang dan My Farm Outlet Putrajaya dan akan diagihkan kepada dua rakan strategik utama Food Bank Malaysia iaitu Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen.

“Makanan yang dikumpul akan diagihkan kepada kumpulan sasar yang sudah dikenal pasti daripada keluarga miskin dan kurang upaya, rumah kebajikan, pusat bantuan makanan, pertubuhan bukan kerajaan dan pelajar universiti yang kurang berkemampuan,” katanya.

Pengumpulan sumbangan makanan ini akan diteruskan ke Pasar Tani Setiawangsa, Taman Melawati dan Kelana Jaya pada 27 Julai dan Pasar Tani Shah Alam dan Bukit Angkasa, pada 28 Julai ini.

Berita Harian X