Jumaat, 19 Julai 2019 | 8:25pm
PENGERUSI Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (dua dari kanan) melancarkan Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, hari ini. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor (dua dari kiri); Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong (kiri) dan Pengurus Besar Pengiklanan, Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew. - Foto Khairunisah Lokman

Melaka kawal harga rumah, elak lambakan rumah tak terjual - EXCO

MELAKA: Kerajaan negeri berkuasa menentukan paras harga rumah setiap projek perumahan, sekali gus memastikan pasaran hartanah serta kuasa beli kediaman di negeri ini kekal kompetitif.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata strategi itu adalah sebahagian daripada usaha bagi mengatasi isu lambakan projek perumahan yang tidak dijual.

“Sebab itu di Melaka, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menentukan harga rumah yang kita luluskan bagi setiap projek.

“Ini kerana kita mengambil serius isu lambakan pembinaan projek perumahan, kerana tidak mahu ia berlaku di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Siri Kedua Pameran Hartanah MyRumah 2019 anjuran The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) di pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor; Pengurus Besar Pengiklanan NSTP, Jeannie Leong; Pengurus Besar Pengiklanan, Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew; Ketua Pengiklanan Wilayah & Usahawan Kecil dan Sederhana (SME) NSTP, S Linggaraj.

Mohd Rafiq turut menyambut baik usaha NSTP menganjurkan pameran hartanah yang turut memfokuskan kategori isi rumah berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) dan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) untuk memiliki kediaman sendiri.

“Mengikut rekod sepanjang 10 tahun lalu, hanya 725 unit rumah yang masih tidak terjual di Melaka, di mana hanya 73 unit tidak terjual dalam setahun,” katanya.

Lebih 12 projek perumahan di sekitar negeri ini dan Johor dipamerkan pada pameran kali ini yang berlangsung selama tiga hari.

Sejumlah 2,653 unit kediaman dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM681 juta ditawarkan.

Pameran MyRumah yang bermula jam 10 pagi hingga jam 10 malam, turut disokong oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),

Pameran siri pertama diadakan di Kuala Lumpur pada Mac lalu. Selepas ini, pameran MyRumah akan diadakan di Johor Bahru (Ogos), Kuantan (September), Shah Alam (Oktober) dan Ipoh (November).

Siri kedua MyRumah 2019 menyasarkan pembeli rumah dan pelabur hartanah sekitar wilayah selatan dengan menawarkan hartanah pada harga serendah RM180,000 sehingga RM679,000.

Pameran turut menampilkan tujuh pemaju hartanah utama iaitu Bukit Pelali (Astaka Padu Sdn Bhd); Faithview Group Development Sdn Bhd; Handal Group; Jabatan Perumahan Negara (JPN); Lembaga Perumahan Melaka (LPM); Scientex Height Sdn Bhd dan SPNB Aspirasi (SPNB).

Ia turut disertai oleh Takaful Ikhlas Berhad.

Pembeli rumah berpeluang memenangi sebuah kereta Nissan Almera. Pameran juga menampilkan barisan penceramah hartanah terkemuka tanah air yang memberikan tips membeli kediaman dan pelaburan hartanah.

Berita Harian X