Sabtu, 20 Julai 2019 | 9:13pm
Menteri Industri Utama, Teresa Kok (tengah) menjawab soalan orang ramai ketika hadir pada Majlis Taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Sesi Dialog Bersama Penanam Sawit Negeri Sembilan di Felda Wilayah Raja Alias, Bandar Seri Jempol hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan setuju lanjut tarikh permohonan insentif MSPO - Kok

JEMPOL: Kerajaan bersetuju melanjutkan tarikh permohonan insentif pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) daripada 30 Jun kepada 31 Disember tahun ini kepada semua pengusaha sawit.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kerajaan juga akan meningkatkan kadar insentif kos pengauditan MSPO daripada 70 peratus kepada 100 peratus dan memberi insentif baharu kos persediaan MSPO sebanyak 50 peratus bagi estet berkeluasan 40.46 hingga 1,000 hektar.

“Insentif bagi pekebun kecil tersusun juga akan ditingkatkan daripada RM10 sehektar kepada RM55 sehektar,” katanya pada Majlis Taklimat MSPO Penanaman Sawit Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru, Teo Kok Seong; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Chew Jit Seng.

Kok berkata sehingga 30 Jun lalu, seluas 2.45 juta hektar atau 42 peratus daripada 5.85 juta hektar tanaman sawit di Malaysia sudah mendapat pensijilan MSPO dan bagi Negeri Sembilan, seluas 104,000 hektar atau 56 peratus daripada 187,000 hektar tanaman sawit sudah memiliki MSPO.

“Bagaimanapun, keluasan pekebun kecil persendirian yang mendapat pensijilan MSPO di negeri ini masih rendah iaitu seluas 381 hektar atau 1.4 peratus daripada keseluruhan tanaman sawit pekebun kecil persendirian,” katanya.

Kok berkata kerajaan akan terus mempergiatkan usaha menggalakkan pemilikan pensijilan MSPO dalam kalangan pengusaha sawit dan pekebun kecil di negara ini.

Katanya kerajaan melaksanakan pelbagai langkah untuk menstabilkan harga sawit dan sentiasa memberi keutamaan untuk membantu pekebun kecil yang terjejas dari segi pendapatan akibat kejatuhan harga.

“Kerajaan sudah dan akan meneruskan langkah-langkah memperluaskan pasaran minyak sawit dengan meneroka pasaran baharu meliputi Afrika dan rantau Asia Tenggara selain mengukuhkan pasaran sedia ada seperti China, Kesatuan Eropah, India dan Pakistan.

“Kerajaan juga melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit daripada tujuh peratus kepada 10 peratus bagi kegunaan semua kenderaan enjin diesel dalam sektor pengangkutan di seluruh negara bermula 1 Februari lalu.

“Kerajaan juga melaksanakan penggunaan adunan biodiesel sawit B7 secara mandatori dalam sektor industri bermula 1 Julai lalu,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X