Ahad, 21 Julai 2019 | 8:26pm

Logo TMM 2020 dengan elemen alam semula jadi

PUTRAJAYA: Logo Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 yang bakal dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad esok, akan mengetengahkan elemen alam semula jadi, kebudayaan dan kesenian negara ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata pelancaran logo itu akan melonjakkan lagi usaha mempromosi TMM 2020 dan sektor pelancongan negara.

“Selepas dilancarkan esok, logo TMM 2020 akan turut dipamerkan di 34 badan pesawat daripada pelbagai syarikat penerbangan, termasuk tempatan dan antarabangsa.

“Kita juga berjaya mengadakan kolaborasi dengan syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik Jepun, Sharp yang akan mempamerkan video promosi TMM 2020 pada televisyen keluarannya di 126,000 outlet di seluruh dunia.

“Kita jangkakan dengan promosi berterusan dan dalam skala besar seperti ini, akan menarik pelancong tempatan dan luar negara termasuk dari Singapura, Thailand, Jepun, Korea, China, India, Asia Barat dan negara Eropah untuk melawat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau persiapan akhir majlis pelancaran Logo TMM 2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Selain melancarkan logo TMM 2020 esok, Dr Mahathir akan menyaksikan empat pesawat masing-masing daripada syarikat penerbangan AirAsia, Malaysia Airlines, Firefly dan Malindo yang turut serta dalam promosi TMM 2020 dengan mempamerkan logo baharu itu di badan pesawat.

“Setakat ini, kita sudah 100 peratus bersedia untuk majlis esok. Sekarang ini kita buat sentuhan terakhir untuk memastikan majlis esok berjalan lancar,” katanya.

Sebelum ini, Mohamaddin berkata, kerajaan menyasarkan negara akan meraih pendapatan sebanyak RM192 bilion daripada pelancong asing dan domestik sempena TMM 2020.

Mohamaddin mendengar penerangan daripada Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof (dua dari kanan) ketika meninjau persiapan akhir majlis pelancaran Logo TMM 2020 di KLIA di Sepang, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Berita Harian X