Ahad, 21 Julai 2019 | 9:49pm
Kos tinggi penjagaan dan pendidikan awal anak-anak dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda hingga ramai terjerat masalah hutang dan terpaksa dibantu Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. Secara purata kos bagi Taska serta Tadika adalah antara RM300 hingga RM2,000 seorang dan mencakupi lebih 30 peratus pendapatan keluarga. - NSTP/Syakirah Azhar

Kos Taska, Tadika punca beban kewangan

KUALA LUMPUR: Kos penjagaan dan pendidikan awal anak-anak yang tinggi, dikesan antara penyumbang beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun hingga ramai terjerat masalah hutang, memaksa mereka mendapatkan bantuan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Kelompok yang baharu membina kerjaya dan keluarga itu, mencakupi 55.1 peratus daripada 266,454 kes yang mendapat khidmat nasihat AKPK sejak awal tahun ini hingga Mei lalu, bagi menyelesaikan masalah hutang mereka.

Ketua Komunikasi Korporat AKPK, Mohamad Khalil Jamaldi, berkata daripada yang tampil mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan agensi itu, 13.9 peratus berusia 20 hingga 30 tahun dan 41.2 peratus antara 30 hingga 40 tahun.

Berdasarkan statistik mengikut kategori status perkahwinan pula, jumlah individu berkahwin merekodkan kes paling tinggi dengan 78.1 peratus atau 208,221 orang tampil mendapatkan khidmat AKPK.

Mohamad Khalil mengakui perbelanjaan diri dan keluarga termasuk kos pendidikan awal anak-anak yang tinggi, berbanding pendapatan bulanan menyebabkan mereka gagal menguruskan kewangan dengan baik hingga terjebak hutang.

Semakan BH mendapati, bagi tujuan penjagaan di pusat asuhan atau penghantaran ke tadika, secara purata pasangan muda yang tinggal di bandar raya perlu membayar di antara RM300 hingga RM2,000 sebulan, tidak termasuk caj pendaftaran bagi setiap anak, seawal usia bayi hingga enam tahun serta kos pengangkutan.

Beban kewangan pasangan muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun hingga ramai terjerat masalah hutang, memaksa mereka mendapatkan bantuan AKPK. - Foto hiasan

Caj terbabit bergantung kepada status pusat jagaan atau institusi pendidikan yang menjadi pilihan ibu bapa berkenaan kerana kadar caj tidak dikawal kerajaan, sebaliknya tertakluk kepada pertimbangan pengusaha berdasarkan ciri-ciri kemudahan yang ditawarkan.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, menegaskan pengusaha pusat asuhan bertauliah serta berdaftar, tidak mampu menurunkan caj terlalu rendah kerana kos operasi yang tinggi ekoran syarat ketat pihak berkuasa.

Beliau berkata, taska swasta menanggung kos pengurusan tinggi di bandar dan terpaksa menawarkan harga ‘sama-sama menang’ kepada ibu bapa untuk memastikan operasi mereka terus bertahan.

Dakwanya, mereka membelanjakan hampir RM10,000 sebulan untuk kos pengurusan (mengikut kawasan), jika hanya menggunakan dua pekerja dengan gaji minimum RM1,100 seorang.

Semakan BH mendapati, perbelanjaan bagi kos mengasuh dan tadika anak-anak ini mencakupi lebih 30 peratus daripada pendapatan isi rumah dan jumlah itu tidak termasuk kos pemakanan khususnya susu tepung serta keperluan lampin pakai buang yang turut meningkat.

Situasi itu menyebabkan ramai pasangan muda terpaksa melakukan kerja tambahan dalam usaha menambah pendapatan isi rumah masing-masing, selepas pendapatan daripada pekerjaan hakiki tidak mencukupi.

Pengurusan kewangan yang baik mampu mengelakkan dibebani hutang. - NSTP/Salhani Ibrahim

Sementara itu, dapatan kajian Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan seorang daripada setiap dua lelaki dan dua daripada setiap lima wanita berkahwin yang menjadi responden, mengakui berdepan masalah mengurus perbelanjaan anak-anak.

Berdasarkan kajian, 50.3 peratus responden lelaki dan 39.1 peratus responden wanita yang masing-masing mewakili jumlah tertinggi, berkongsi pendapat sama bahawa perbelanjaan pendidikan anak menjadi masalah utama mereka.

Kajian LPPKN itu membabitkan 4,167 lelaki dan 7,644 wanita yang berkahwin berusia 15 hingga 59 tahun.

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah, berkata kajian itu turut mendapati tiga daripada empat masalah utama yang dihadapi keluarga ialah perbelanjaan pendidikan anak, perbelanjaan keperluan keluarga (34.2 peratus) dan perbelanjaan perubatan keluarga (15.5 peratus)

Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. - NSTP/Supian Ahmad

Beliau berkata, dalam kajian berasingan dilakukan lembaga itu juga mendapati 65 peratus atau mewakili empat juta keluarga di Malaysia, menghadapi masalah kewangan.

Katanya, isu masalah kewangan keluarga ini perlu ditangani dengan baik, kerana boleh menjejaskan keharmonian institusi keluarga di negara ini.

Ibu bapa sanggup ‘ikat perut’

Pasangan ibu bapa muda sentiasa dalam dilema, setiap kali memikirkan tempat asuhan dan tadika yang menawarkan caj berpatutan dengan kemampuan kewangan mereka.

Demi mendapatkan khidmat terbaik untuk anak kesayangan, pasangan ibu bapa sanggup berkorban termasuk ‘mengikat perut’ serta melakukan kerja sampingan demi memastikan peruntukan bagi tujuan itu mencukupi.

Pekerja swasta, Khairul Amri Ahmad, 34, mengakui terpaksa membuat keputusan sukar apabila memilih menghantar dua anaknya ke taska swasta dengan bayaran RM1,420 setiap bulan.

Kos penjagaan anak penyumbang beban kewangan kepada keluarga muda. - NSTP/Salhani Ibrahim

Katanya, keadaan itu membuatkan beliau bersama isteri terpaksa melakukan kerja sampingan termasuk berniaga makanan di pejabat, demi memastikan keperluan mereka khususnya untuk anak-anak mencukupi setiap bulan.

“Memang sukar kerana kami membelanjakan hampir 40 peratus daripada pendapatan untuk dua anak. Walau sukar, pendidikan awal untuk anak-anak adalah keutamaan dan kepentingan kami.

“Apatah lagi sekarang memang sudah menjadi budaya setiap ibu bapa kena pastikan anak boleh membaca sebelum memasuki sekolah rendah.

“Justeru, saya dan isteri berkorban apa yang patut seperti kalau dulu kami kerap makan di luar, namun sekarang lebih banyak makan di rumah kerana perlu berjimat,” katanya yang memilih taska swasta kerana percaya kemahiran sosial anaknya bertambah baik.

Ibu tunggal yang juga seorang jururawat, Cheam Wei Yen, 30, pula berkata, beliau terpaksa mengambil inisiatif melakukan kerja sambilan dengan membantu rakannya dalam perniagaan selain sering melakukan syif berganda untuk menampung yuran pendidikan anak tunggalnya.

Wei Yen yang menetap di Butterworth, Pulau Pinang, menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada pendapatan keseluruhannya diperuntukkan untuk anaknya, Tiu Yu En, 3.

“Sebelum ini saya pernah hantar anak ke taska dengan bayaran RM500 sebulan, itu yuran paling murah yang saya dapat, sekarang sekarang ini saya minta keluarga jaga dahulu sementara sebelum saya daftarkan anak tahun depan.

“Sekarang saya sudah mula bertanyakan mengenai perihal taska dan rata-ratanya mengenakan yuran permulaan lebih daripada RM1,000 termasuk pakaian dan aktiviti mereka.

“Itu belum lagi caj lebih masa dikenakan yang perlu saya bayar setiap kali saya mengambil syif kerja berganda, selalunya 15 hari sebulan saya perlu kerja syif berganda,” katanya.

Penjawat awam di Putrajaya, Mallisa Hussin, 33, mengakui dalam dilema untuk menghantar anak tunggalnya, Maryam Alesya Mohd Nur Hamiza, 3, ke taska tahun depan berikutan yuran bulanannya yang disifatkan agak mahal.

Mallisa berkata, melalui pencariannya di beberapa taska sekitar kediamannya, kebanyakan mengenakan yuran pendaftaran sehingga RM2,000 dengan yuran bulanan sekitar RM550 seorang.

Katanya, beliau bersama suami, Mohd Nur Hamiza Lazim, 32, terpaksa menstruktur semula kewangan mereka bermula tahun depan kerana sejumlah peruntukkan besar harus disalurkan buat anak bagi aspek pendidikan dan keperluan hariannya.

“Yuran daftar anak ke taska sekarang sudah macam hantar anak masuk universiti, kebanyakan taska yang saya selidik, hampir RM2,000 yuran pendaftarannya membabitkan bayaran aktiviti dan uniform.

“Mungkin ketika ini, kami boleh lagi tanggung kos kerana hanya seorang anak tetapi kalau sudah anak dua atau tiga, pasti jadi berat...sekarang ini nak tambah anak lagi pun kena fikir panjang," katanya.

Pada masa sama Mallisa mengakui, ada taska menawarkan bayaran lebih murah sekitar RM300 hingga RM400 sebulan namun ia kelihatan tidak menitikberatkan aspek pembelajaran, selain jauh dari kediamannya.

“Bukan tidak mahu hantar anak ke taska milik kerajaan tetapi ramai saya kata di situ kanak-kanak tidak belajar sangat dan silibusnya tidak menitikberatkan pembelajaran,” katanya.

Pembantu juruteknik swasta, Razak Rahman, 34, mengakui terpaksa menghabiskan masa cuti hujung minggu untuk berniaga nasi lemak dan menjual burger di bahagian bawah kediamannya, sebuah apartmen di Seksyen U10, Shah Alam.

“Kalau tak berhutang, mana mungkin saya dapat beli rumah, kereta dan motosikal tetapi bila dah berhutang, inilah jadinya. Gaji saya dan isteri pun tak cukup untuk tampung kos perbelanjaan bulanan.

“Nasib baik isteri cukup memahami dan banyak membantu saya yang terpaksa bekerja tambahan demi menyara keluarga,” kata bapa kepada tiga anak berusia dua hingga lapan tahun itu, yang mula memberanikan diri menjual nasi lemak kepada jiran-jiran di kediamannya.

Razak yang turut mengalami kecacatan kerana pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya, mengakui dia tidak terlalu memilih soal jenama susu atau lampin pakai buang anaknya, asalkan mendapat apa yang sepatutnya.

“Memang penat. Berniaga nasi lemak ini agak banyak kerja. Banyak nak kena siapkan sebelum berniaga, tetapi syukurlah, masih ada rezeki untuk anak-anak saya,” katanya.

Taska, Tadika kerajaan kurang di bandar

Kekurangan taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) kendalian agensi kerajaan di bandar raya, menyebabkan pasangan muda berdepan dilema dalam menguruskan jagaan serta didikan awal anak masing-masing.

Golongan kumpulan pendapatan isi rumah terendah B40, berdepan masalah dalam memilih tempat asuhan atau pendidikan awal anak-anak, sehingga menyebabkan ramai yang menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar.

Ketika ini, lebih 80 peratus taska dan Tadika yang berdaftar dengan pihak berkuasa di seluruh negara, dikendalikan secara persendirian oleh individu atau syarikat, yang mendakwa menanggung kos tinggi untuk kelangsungan operasi masing-masing.

Ketika ini, Tadika kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Perpaduan Negara lebih tertumpu di kawasan luar bandar dan tidak menyeluruh.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Mengulas isu itu, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Anisa Ahmad, mengakui ibu bapa mempertaruhkan risiko keselamatan anak-anak mereka apabila menghantar ke pusat tidak bertauliah dan tidak berdaftar.

“Masing-masing ada pilihan, tetapi golongan B-40 paling terjejas. Ramai yang tidak mampu dan sanggup mengambil risiko seperti itu, selain ada yang menghantar anak ke rumah ibu bapa.

“Majoriti yang menghantar anak ke pusat berdaftar ialah kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus pertengahan (M40). Mereka juga berdepan dilema sama walaupun majoriti pasangan suami dan isteri yang bekerja,” katanya.

Secara purata, setiap keluarga memperuntukkan antara RM300 sehingga RM2,000 sebulan bagi seorang anak yang dihantar ke tabika atau taska swasta.

Kadar bayaran itu bergantung tahap perkhidmatan disediakan serta lokasinya dan bayaran meningkat jika ditambah kos penjagaan lebih masa apabila ibu bapa lewat mengambil anak selepas tamat tempoh ditetapkan.

Anisa berkata, taska swasta menanggung kos pengurusan tinggi di bandar dan terpaksa menawarkan harga ‘sama-sama menang’ kepada ibu bapa demi memastikan kelangsungan operasi mereka.

Katanya, mereka membelanjakan hampir RM10,000 sebulan untuk kos pengurusan (mengikut kawasan), jika hanya menggunakan dua pekerja dengan gaji minimum RM1,100 seorang.

“Kami tak boleh letak harga terlalu tinggi kerana ramai ibu bapa yang tidak mampu tetapi tidak boleh letak harga terlalu rendah kerana pulangannya tidak mampu menampung kos operasi.

“Kami tidak boleh mendaftar kanak-kanak melebihi had ditetapkan. JKM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat menetapkan ruang 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak. Jadi, jumlahnya bergantung kepada saiz Taska.

“Begitu juga dengan nisbah jumlah pengasuh iaitu 1:3 untuk bayi, 1:5 bagi kanak-anak berusia 1-3 tahun dan 1:10 untuk kanak-kanak berusia 3-4 tahun,” katanya.

Beliau berkata, nisbah pengajar bagi tabika yang menempatkan kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun ialah 1:25.

Anisa berkata, pihaknya mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah seperti seperti diamalkan di Singapura dan Indonesia dalam usaha memastikan lebih banyak pusat asuhan ditubuhkan dengan kualiti perkhidmatan lebih baik.

Katanya, di Singapura, setiap keluarga hanya perlu membayar separuh daripada kos menghantar akan ke pusat asuhan, manakala bakinya ditanggung kerajaan.

“Di Indonesia, separuh daripada gaji pengasuh (bertauliah) dibayar kerajaan dan bakinya dibayar pusat asuhan. Secara tidak langsung, ia akan menarik minat lebih ramai pelabur dan pekerja terlatih.

“Paling penting, ibu bapa dapat memastikan pendidikan awal kanak-kanak terjamin, tersusun dan pada masa sama, pusat asuhan juga akan terus kekal dengan kualiti tinggi,” katanya.

Berita Harian X