Isnin, 22 Julai 2019 | 3:59pm
Amil Abdullah dari Johor Bahru meninggal dunia di Hospital King Faisal.
Amil Abdullah dari Johor Bahru meninggal dunia di Hospital King Faisal.

Jemaah Malaysia meninggal dunia

MAKKAH: Seorang jemaah lelaki rakyat Malaysia dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah yang menyebabkan kegagalan fungsi badannya, Jumaat lalu.

Amil Abdullah, 63, dari Johor Bahru, Johor meninggal dunia di Hospital King Faisal di sini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata Amil dimasukkan ke Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah di sini sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital itu sebelum meninggal dunia jam 2.20 petang.

“Allahyarham tiba melalui penerbangan KT11 pada 9 Julai lalu bersama isterinya di Madinah dan berada selama enam hari di Madinah sebelum bertolak ke Makkah.

“Jenazah Allahyarham diuruskan oleh Muassasah Asia Tenggara dan disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di sini selepas solat Subuh pada 20 Julai lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah di sini, hari ini.

Tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan melaksanakan ibadat haji dengan lebih 13,000 orang telah tiba di sini dan Madinah, dibantu 640 petugas TH.

Muassasah Asia Tenggara adalah pihak dilantik kerajaan Arab Saudi untuk menguruskan segala penyediaan kemudahan jemaah haji dari negara Asia Tenggara, termasuk penginapan dan pengangkutan.

Syed Saleh berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan TH akan melakukan badal haji secara percuma untuk Allahyarham.

Sementara itu, katanya, seramai 16,628 jemaah haji tiba di Tanah Suci sehingga hari ini yang mana daripada jumlah itu, 93 peratus telah berada di Makkah dan selebihnya di Madinah.

"Hari ini semua jemaah haji akan tiba di Makkah dari Madinah dan mulai esok semua jemaah haji akan berada di Makkah.

“Pada masa ini, kita menerima jemaah haji secara terus di Jeddah dan bukan lagi di Madinah," katanya.

Dengan cuaca panas berterusan di sini dan suhu mencecah 51 darjah Celsius, Syed Saleh menasihatkan jemaah supaya sentiasa menitikberatkan penjagaan diri dengan minum banyak air dan tidak terdedah terlalu lama kepada matahari. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X