Isnin, 22 Julai 2019 | 4:24pm
Saifuddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Ghost Smoke: Penguat kuasa KPDNHEP diarah bertindak

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengarahkan penguat kuasa turun padang bagi memeriksa dan memantau penjualan gula-gula mengeluarkan asap seakan-akan rokok yang dilaporkan dijual secara terbuka kepada murid sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap pihak yang menjual produk terbabit jika didapati melanggar peraturan mengikut bidang kuasa kementeriannya, seterusnya mengekang penjualannya.

Katanya, KPDNHEP akan memeriksa dari mana produk gula-gula ‘Ghost Smoke’ dihasilkan dan sama ada ia mematuhi Perintah Kawalan Harga (Pelabelan oleh Pengilang, Pengimport, Pengeluar atau Penjual Borong) 1980 sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Setiap produk tersedia bungkus di pasaran perlu mematuhi penandaan butiran seperti diperuntukkan mengikut perintah berkenaan.

“Berikutan itu, Bahagian Penguatkuasaan (KPDNHEP) kena tingkatkan keupayaan (pemeriksaan), ini produk yang baru timbul dan menjadi kegemaran anak-anak.

“Selepas tinjauan penguatkuasaan, pihak penguat kuasa perlu segera memberi laporan balas, kita nak tahu produk ini datang dari mana dan adakah patuh Perintah Kawalan Harga sebelum mengambil tindakan susulan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perundingan Penjaja dan Peniaga Kecil di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya juga akan mengenal pasti sama ada gula-gula berkenaan dijual berleluasa di seluruh negara atau hanya terdapat di kawasan tertentu misalnya di Lembah Klang dan beberapa daerah lain.

Gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dijual kepada murid sekolah di Papar. - NSTP/Rafiqah Dahali

Semalam, BH Online melaporkan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dikatakan dijual secara berleluasa di daerah Papar, selain daerah lain di Sabah.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat, dilaporkan berkata kebanyakan yang membeli gula-gula itu adalah murid Tahun Lima dan Enam, malah beliau sudah menulis surat kepada sekolah dan mengingatkan ibu bapa mengenai budaya buruk bakal timbul daripada gula-gula berkenaan.

Aduan juga dibuat kepada Pegawai Kesihatan Daerah Papar dan pemeriksaan terhadap premis serta kajian terhadap kandungan gula-gula itu sudah dijalankan.

Berdasarkan surat daripada Pejabat Kesihatan Papar, kajian terhadap gula-gula terbabit mendapati ia melanggar peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Makanan 1983 iaitu tidak menyatakan kandungan aditif makanan.

Berita Harian X