Isnin, 22 Julai 2019 | 4:53pm
Pihak sekolah turut diminta menasihati dan melarang murid atau pelajar membeli gula-gula ini.

Jabatan Pendidikan edar surat larang beli gula-gula berasap

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Sabah menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar, hari ini, mengeluarkan surat makluman berhubung nasihat Pejabat Kesihatan Papar supaya murid dan pelajar di setiap sekolah tidak membeli gula-gula berasap ‘Ghost Smoke’.

Pengarahnya, Mistirine Radin, berkata surat itu sebagai peringatan kepada semua sekolah supaya mengambil perhatian terhadap makluman Jabatan Kesihatan yang mendapati gula-gula terbabit melanggar Peraturan 11(1)(g), Peraturan-Peraturan Makanan 1983 kerana tidak menyatakan kandungan aditif makanan.

“Kita mengikut nasihat Jabatan Kesihatan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Jabatan Pendidikan negeri berhubung penjualan gula-gula mengeluarkan asap seperti rokok apabila disedut dalam kalangan murid sekolah seperti tular sebelum ini.

Surat makluman itu yang ditandatangani Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Suhaimi Matshah dan diedarkan kepada pengetua serta guru besar sekolah di Papar memaklumkan kepada guru, ibu bapa, murid dan pelajar masing-masing mengenai nasihat Jabatan Kesihatan.

Dalam surat bertarikh 22 Julai itu, pihak sekolah turut diminta menasihati dan melarang murid atau pelajar membeli gula-gula terbabit.

Mistirine berkata, setiap sekolah tertakluk kepada peraturan barang makanan boleh dijual di sekolah yang ditetapkan Kementerian Pendidikan.

Menerusi surat dikeluarkan Pejabat Kesihatan Papar bertarikh 17 Julai lalu mengenai gula-gula terbabit, makluman diedarkan kepada Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pegawai Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Berdasarkan peraturan Kementerian Pendidikan mengenai jenis makanan boleh dijual di sekolah, semua jenis gula-gula, selain makanan ringan adalah dilarang dijual atau dibawa ke sekolah.

Sementara itu, beberapa murid sekolah rendah di sini, mengakui pernah merasa dan melihat gula-gula terbabit, namun ia bukan dijual di kawasan sekolah.

Seorang murid Tahun Lima Sekolah Agama Negeri (SAN) Kepayan, di sini, mendakwa gula-gula itu dibawa murid lain ke sekolah, dipercayai dibeli dari kedai runcit berhampiran rumah mereka.

Penjualan gula-gula berasap itu tular selepas kenyataan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat mengenai gula-gula terbabit dimuat naik dalam media sosial beberapa hari lalu.

Difahamkan, susulan kenyataan itu, Pejabat Kesihatan Papar mengambil tindakan segera memeriksa kandungan gula-gula terbabit dan merampasnya dari semua kedai runcit di sekitar Papar.

Berita Harian X