Selasa, 23 Julai 2019 | 5:35pm

Logo Tahun Melawat Malaysia tak akan ditukar

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tidak akan menukar logo Tahun Melawat Malaysia 2020 walaupun reka bentuknya mendapat kritikan.

Menterinya, Datuk Mohammadin Ketapi, berkata logo yang dipilih dan dilancarkan kelmarin dihasilkan pemegang ijazah rekaan grafik kelas pertama.

“Graduan ijazah kelas pertama tidak akan melakukan perbuatan tiru-meniru kerana dia tidak berminat memalukan dirinya sendiri.

“Hanya orang yang tidak pandai lukis akan meniru,” katanya dalam sidang media Pameran Leonardo Opera Omnia di Balai Seni Negara di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Balai Seni Lukis, Prof Datuk Dr Najib Ahmad Dawa dan Charge d’affairs Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Counselor Silvia Marrara.


DATUK Mohammadin Ketapi

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilancarkan kelmarin mendapat kritikan netizen di media sosial termasuk Twitter Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antaranya termasuk dakwaan penggunaan bahasa Inggeris yang salah.

Mohammadin berkata, penggunaan bahasa Inggeris dalam logo itu betul tetapi orang yang tidak mendalami bahasa itu akan menganggapnya salah.

Terdahulu Mohammadin dalam ucapan perasmian berkata, pameran seniman terkenal Itali abad ke-16 itu sebahagian diplomasi budaya antara Malaysia dengan Itali.

Ia dijayakan dengan kerjasama Kedutaan Itali di Malaysia yang akan berlangsung sehingga 15 Ogos ini.

Berita Harian X