Selasa, 23 Julai 2019 | 9:45pm
MUFTI Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. - Foto Abdullah Yusof

Daging korban tidak harus diberi kepada bukan Islam - Harussani

IPOH: Daging hasil penyembelihan dalam ibadat korban tidak harus diberikan kepada bukan Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata, ia kerana ibadat korban adalah perkara `ta’abbudiy’ (hal ehwal ibadat) yang dihukumkan sebagai sunat muakkadah (sunat yang sangat dituntut).

Katanya, fatwa itu dikeluarkan setelah mengambil kira pandangan yang masyhur dalam Mazhab Syafie, pandangan ulama semasa, maslahah umum serta keperluan semasa dI negeri ini.

Harussani berkata, kenyataan itu dikeluarkan berikutan isu pemberian daging korban kepada bukan Islam hangat dibahaskan di media terutama media sosial, sejak akhir-akhir ini.

“Dalam perbahasan itu, penggunaan nas dan dalil, malahan fakta sokongan seperti keterangan ulama terdahulu serta kontemporari serta maslahah semasa menjadi sandaran bagi menguatkan hujah masing-masng.

“Adalah ditegaskan bahawa amalan mengorbankan binatang ternakan dan perkara yang berkaitan dengannya (ketika Aidiladha) adalah ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, amalan warisan Nabi Ibrahim itu mempunyai hikmah yang sarat dengan kebaikan dunia dan akhirat.

Berita Harian X