Rabu, 24 Julai 2019 | 1:11pm
LIM Guan Eng.

Tender terbuka kompetitif, belanjawan asas-sifar beri kesan positif - Guan Eng

PUTRAJAYA: Tender terbuka yang kompetitif dan belanjawan asas-sifar memberi kesan positif terhadap keadaan kewangan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, ia membolehkan perbelanjaan pembangunan dinaikkan 13 peratus atau RM2.4 bilion untuk lima bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, dari Januari hingga Mei tahun ini, kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal sebanyak 39 peratus kepada RM21.4 bilion berbanding RM35 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan menyedari perbelanjaan subsidi yang ditanggung dan akan terus menguruskan perbelanjaan secara berhemat.

“Kerajaan juga mengurangkan defisit akaun semasa kepada RM1.1 bilion untuk tempoh Januari-Mei 2019, iaitu penurunan sebanyak 94 peratus atau RM16 bilion daripada jumlah defisit besar RM17.1 bilion bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, usaha konsolidasi fiskal yang berjaya ialah antara faktor meyakinkan agensi penarafan kredit antarabangsa, Fitch Ratings, untuk mengesahkan semula penarafan kredit berdaulat pada A- dengan unjuran stabil pada 18 Julai lalu.

Beliau berkata, ini berikutan pengesahan semula yang sama oleh S&P Global Ratings pada 3 Julai lalu.

“Disiplin fiskal sudahpun diketatkan dengan gabungan kawalan lebih ketat terhadap perbelanjaan mengurus, melalui penggunaan tender terbuka yang kompetitif dengan lebih meluas dan pengenaan belanjawan asas-sifar.

“Langkah pembaharuan pendapatan dan perbelanjaan lain yang dinyatakan dalam Belanjawan 2019 turut membantu memulihkan kewangan kerajaan.

“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2019, kerajaan bercadang membelanjakan RM259.9 bilion untuk tujuan pengurusan, tahun ini. Perbelanjaan sebanyak RM106.5 bilion untuk perbelanjaan mengurus dalam tempoh Januari-Mei 2019 ialah 41 peratus daripada jumlah yang sudah diperuntukkan,” katanya.

Berdasarkan prestasi fiskal semasa, Guan Eng berkata, kerajaan yakin dapat mencapai sasaran defisit fiskal 3.4 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sambil memastikan imbangan akaun semasa dalam keadaan lebihan untuk tahun ini.

“Malah, sekiranya tiada perang perdagangan antara dua rakan dagang Malaysia yang terbesar, iaitu Amerika Syarikat dan China, Kementerian Kewangan percaya kerajaan akan dapat mencapai sasaran defisit serendah 3.0 peratus berbanding KDNK bagi 2020.

“Kerajaan yakin ekonomi negara akan berkembang secara mampan tahun ini dan tahun depan. Bank Dunia mengunjurkan KDNK negara akan tumbuh 4.6 peratus untuk tahun ini, dan ini disebabkan pertumbuhan ekonomi kukuh walaupun negara berdepan cabaran luaran daripada perang perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China.

“Mei lalu, indeks pengeluaran perindustrian Malaysia tumbuh 4.0 peratus tahun ke tahun, mengatasi konsensus pasaran sebanyak 3.5 peratus seperti dilaporkan Bloomberg,” katanya.

Beliau berkata, eksport bagi Mei 2019 pula berkembang 2.5 peratus tahun ke tahun dan ia juga mengatasi jangkaan pasaran.

Katanya, pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan bagi semua sektor meningkat 73.4 peratus kepada RM29.3 bilion dalam suku pertama 2019 daripada RM16.9 bilion setahun lalu.

“Pertumbuhan ini dipacu peningkatan 127 peratus dalam FDI pembuatan yang diluluskan kepada RM20.2 bilion dalam suku pertama 2019, daripada RM8.9 bilion setahun lalu.

“Jualan kenderaan untuk lima bulan pertama tahun ini meningkat 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Pada masa sama, kadar pengangguran turun kepada 3.3 peratus pada Mei 2019 daripada 3.4 peratus bulan sebelumnya.

“Kerajaan berada di landasan betul untuk memulihkan kembali keadaan kewangan kerajaan selewat-lewatnya pada 2021. Dengan sokongan rakyat, Malaysia berpotensi besar untuk menyelesaikan masalah legasi hutang dan liabiliti tinggi serta kegagalan tadbir urus ditinggalkan pentadbiran lama,” katanya.

Berita Harian X