Rabu, 24 Julai 2019 | 4:49pm

Al-Sultan Abdullah redah risiko bantu rakyat

KUANTAN: Menjadi kebiasaan bagi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, untuk turun padang membantu sedaya mungkin sekiranya menerima berita rakyat dilanda musibah atau bencana.

Sebut sahaja bencana seperti tanah runtuh, banjir ataupun musibah seperti kematian dan kebakaran, Yang di-Pertuan Agong sering kali ringan tulang untuk turun padang melihat sendiri nasib menimpa rakyat secara dekat, malah turut membantu.

Sama ada bersendirian atau ditemani Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, baginda juga sering meredah risiko semata-mata untuk bertemu rakyat jelata, membuktikan sifat baginda berdua sebagai pemerintah yang sentiasa mengutamakan rakyat.

Pegawai Khas/Protokol Sultan Pahang, Datuk Abd Rahman Endut, berkata sifat itu sebati dengan diri Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, malah menjadi amalan baginda berdua sejak sekian lama, khususnya di Pahang.

Katanya, banyak pengalaman dilalui sepanjang 45 tahun berkhidmat dengan Al-Sultan Abdullah, namun detik cemas ketika mengiringi baginda yang ketika itu Tengku Mahkota Pahang melawat Cameron Highlands menggunakan helikopter, antara yang sukar dilupakan.

“Ketika itu, helikopter yang kami naiki berdepan masalah untuk mendarat kerana awan rendah menyebabkan juruterbang sukar mencari tapak pendaratan.

“Walaupun helikopter berpusing-pusing kerana gagal mencari tapak pendaratan, baginda bertitah agar jangan berpatah balik kerana sudah berjanji untuk melawat rakyat di sana (Cameron Highlands).

“Keadaan memang berisiko, tetapi perjalanan tetap diteruskan. Dengan kuasa dan pertolongan Allah, kami selamat mendarat. Ia membuktikan betapa sayangnya baginda kepada rakyat sehingga sanggup meredah risiko demi mereka.

Selaku individu rapat dengan baginda, Abdul Rahman turut mengiringi Al-Sultan Abdullah serta Tengku Muda Pahang, Tengku Abd Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah, ketika kedua-dua melanjutkan pengajian di United Kingdom antara 1974 hingga 1981.

Sekembalinya ke tanah air pada 1982, Abd Rahman meneruskan khidmat dengan Al-Sultan Abdullah dan berkongsi 1,001 pengalaman bersama baginda sepanjang menjelajah ke seluruh pelosok negeri ini dalam usaha berkhidmat kepada rakyat, terutama pada waktu bencana.

“Satu sifat baginda yang saya perasan, seboleh-bolehnya mahu menunaikan janji kepada rakyat. Al-Sultan Abdullah tidak suka menghampakan rakyat yang menantikan kedatangan baginda, melainkan jika ada urusan lebih penting,” katanya.

Mengenai peribadi baginda, Abd Rahman berkata Al-Sultan Abdullah diketahui seorang yang sentiasa bekerja keras dan beliau bersama rakan sekerja lain memang sudah memahami gerak kerja baginda yang ada kalanya secara tiba-tiba memberi tugasan, terutama berkaitan permasalahan rakyat.

“Tiada istilah hujung minggu buat baginda. Kadang-kadang baginda hendak melawat lokasi tertentu bagi memantau kerja dilakukan contohnya membaiki rumah rakyat.

“Baginda sendiri tetapkan masa dan tidak mahu ada protokol ketat,” katanya.

Beliau berkata, Al-Sultan Abdullah juga sering membaca kisah rakyat ditimpa kesusahan di media dan jika ada, pasti baginda akan bertitah agar disiasat dan diselesaikan segera.

AL-SULTAN Abdullah melawat kawasan Perumahan Bukit Rangin, Sungai Isap yang dilanda banjir pada 2013. - Foto Hiasan
SERI Paduka melawat rumah penduduk rosak akibat ribut di Kampung Pasir Panjang, Pekan pada November 2018. - Foto Amin Ridzuan Ishak
Berita Harian X