Khamis, 25 Julai 2019 | 6:36pm
Mukhriz (tiga kanan) menyampaikan replika cek kepada nelayan pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah dan Minggu Keusahawanan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Zon Utara di Alor Setar, hari ini. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kedah anjur Konvensyen Padi Antarabangsa

ALOR SETAR: Kedah akan menganjurkan Konvensyen Padi Antarabangsa pada September depan untuk membincangkan pelbagai idea membabitkan pakar pertanian dalam usaha merangka pelan pembangunan sektor pertanian negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhkriz Mahathir, berkata konvensyen itu akan turut membincangkan usaha menarik lebih ramai orang muda menyertai sektor pertanian yang mampu menjadi sumber ekonomi kukuh.

Katanya, program itu penting bagi memberikan impak kepada peladang, penternak dan nelayan untuk meningkatkan pendapatan.

“Walaupun pertanian menjadi antara sektor terpenting dan berpotensi berkembang, ia masih ada kekangan yang perlu diberi perhatian dan tindakan dengan salah satunya adalah isu majoriti pesawah sudah berusia.

“Bancian mendapati lebih separuh daripada jumlah petani yang berada di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berusia lebih 60 tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah (HPPNK) 2019 di sini, hari ini.

Mukhriz berharap penganjuran HPPNK dapat menarik minat orang muda menceburi bidang pertanian dan mendedahkan mereka kepada sektor itu yang mampu memberi pulangan lumayan.

Katanya, HPPNK sangat besar ertinya bukan sahaja kepada warga peladang, penternak Dan nelayan, tetapi juga pada kerajaan negeri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

“Kesempatan ini boleh diguna peladang dan petani untuk berinteraksi bersama pihak industri, mempelajari ilmu atau mendapat pengetahuan baharu sama ada daripada agensi penyelidikan kerajaan atau swasta.

“Usaha ini juga komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan yang memberi sumbangan dalam bentuk penyediaan peruntukan, prasarana, pemudahcara, hebahan dan berbagai lagi sebagai tanda sokongan kepada golongan sasaran,” katanya.

Berita Harian X