Jumaat, 26 Julai 2019 | 4:53pm
KETUA Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan Pulau Pinang bagi siri PPC pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

JPJ tawar nombor pendaftaran khas kepada syarikat swasta, korporat

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersetuju memberi kelonggaran kepada syarikat swasta dan korporat untuk memiliki nombor pendaftaran khas kenderaan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan memberi nombor bermula 1 hingga 1,000 dengan bayaran RM5 juta.

“Permohonan boleh dibuat syarikat swasta atau badan korporat bermula hari ini. Sebagai contoh, sekiranya PETRONAS berminat, nombor pendaftaran akan bermula dengan PETRONAS diikuti nombor.

“Bagi yang berminat untuk tambahan 1,000 lagi nombor, mereka boleh membuat bayaran tambahan RM1 juta.

“Hasil penjualan nombor khas ini bagi menambah pendapatan syarikat atau badan korporat berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai nombor pendaftaran khas kenderaan kepada Universiti Awam (UA), beliau berkata belum ada permohonan dibuat UA bagi mendapatkan nombor khas berkenaan.

“UA yang berminat boleh membuat permohonan menerusi Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan, kemudian mereka akan salurkan permohonan itu kepada JPJ untuk diteliti dan mendapat kelulusan.

“Setiap UA akan diberi 10,000 nombor dengan bayaran RM500,000. Nombor ini perlu dijual dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata RM9.6 juta disumbangkan kepada hasil kerajaan menerusi tujuh siri nombor pendaftaran yang dilaksanakan melalui sistem bidaan dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJeBid) yang dilaksanakan sejak April lalu.

Beliau berkata, tujuh siri nombor itu membabitkan Wilayah Persekutuan Putrajaya (FC), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (VDN, VDP, VDQ, VDR, VDS) dan Kedah (KET).

Katanya, orang ramai kini boleh membida nombor pendaftaran kenderaan Pulau Pinang bagi siri PPC secara dalam talian melalui JPJeBid yang akan dibuka selama lima hari bermula 2 Ogos hingga 6 Ogos, 11.59 malam.

“Harga bidaan JPJeBid adalah mengikut harga minimum ditetapkan iaitu nombor bernilai utama RM20,000, nombor menarik (RM3,000), nombor popular (RM800) dan nombor biasa (RM300).

“Bagi siri PPC ini, kita menyasarkan hasil bidaan keseluruhan antara RM600,000 hingga RM1 juta,” katanya.

Berita Harian X