Sabtu, 27 Julai 2019 | 3:42pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad beramah mesra dengan orang ramai ketika melakukan lawatan di Hospital Sik, hari ini. - Foto Noorazaura Abdul Rahman

Kaji khasiat makanan bukan terikut-ikut trend

SIK: Ibu bapa diminta membuat kajian mengenai kandungan khasiat makanan yang mahu diberikan kepada anak-anak, tanpa perlu terikut-ikut atau terpengaruh dengan trend semasa.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata sikap mengikut trend atau aliran semasa itu boleh menjejaskan kesihatan anak-anak kerana membudayakan amalan pemakanan tidak sihat.

“Seperti kandungan minuman ‘bubble tea’ yang mengandungi kandungan gula tinggi, ia tidak elok diamalkan, dan begitu juga dengan gula-gula Ghost Smoke, jangan beli jika kita tidak pasti apa kandungannya.

“Ibu bapa perlu ambil tahu dan sedikit masa untuk kaji mengenai kandungan khasiat makanan dan bukan terus beli kerana ikut trend, apabila nampak canggih dan menarik saja terus beli.

“Kalau tak jelas mengenai kandungan makanan itu, jangan ambil risiko,” katanya selepas melakukan lawatan ke Hospital Sik, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai hasil siasatan kandungan dalam gula-gula Ghost Smoke, Dr Dzulkefly berkata keputusan itu akan diketahui minggu depan selepas Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan selesai melakukan ujian.

Katanya, beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan tanpa fakta sahih seperti hasil ujian makmal.

“Kita belum tahu apa yang menyebabkan gula-gula itu berasap, kita tidak boleh buat tekaan sahaja, mesti ada bukti ujian baru kita akan maklumkan,” katanya.

Isnin lalu, akhbar melaporkan Kementerian Kesihatan sudah memulakan siasatan dan penguatkuasaan berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke di seluruh negara.

Dr Dzulkefly berkata, kementeriannya sedang menyiasat perkara itu secara menyeluruh dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Berita Harian X