Ahad, 28 Julai 2019 | 3:08pm
GULA-GULA berasap atau Ghost Smoke. - Foto Zain Ahmed

Kandungan sebenar Ghost Smoke diketahui minggu depan

SERI ISKANDAR: Siasatan dan kajian terhadap isi kandungan sebenar yang terdapat dalam gula-gula berasap atau Ghost Smoke serta sama ada ia berbahaya kepada pengguna dijangka dapat diketahui minggu depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan di bawah kementerian itu sudah mengambil sampel dan melakukan ujian serta siasatan terhadap produk berkenaan yang muncul di pasaran baru-baru ini.

“Kita sudah buat siasatan dan ujian serta sampel sudah diambil. Minggu depan mungkin dapat buat rumusan mengenai bahan yang terdapat di dalamnya, apa sebenarnya yang berasap, apa bahan yang digunakan dan adakah ia beracun (atau tidak).

“Sekarang belum dapat sebut lebih jelas dan tuntas (mengenai produk berkenaan),” katanya pada sidang media selepas

merasmikan Konvensyen COMBI Peringkat Kebangsaan, Hari Denggi Asean dan Anugerah Institut Pengajian Tinggi Bebas Denggi di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Ia mulai menjadi tular selepas satu video menunjukkan beberapa murid sekolah rendah di Papar, Sabah, menghembuskan asap daripada mulut selepas makan gula-gula itu dimuat naik dalam media sosial dan pemeriksaan pihak berkuasa kemudian mendapati ia dijual di seluruh negara.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, penggubalan undang-undang baharu bagi mengawal penggunaan rokok elektronik atau vape dan shisha yang sedang dirangka sekarang, bertujuan memastikan pengawalan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh terhadap bahan berkenaan serta segala bahan berkaitan tembakau.

“Kita perlu menguatkuasakan secara bersama dan mahu menumpukan produk ini tidak sampai atau tidak dapat capaian kepada pelajar sekolah serta mereka yang diistilahkan belum dewasa atau bawah 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini rang undang-undang baharu itu sedang dirangka pada peringkat Penasihat Undang-undang Kementerian Kesihatan dan dijangka dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan dalam tempoh terdekat.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, dilaporkan berkata, rang undang-undang kawalan penggunaan rokok elektronik dan shisha dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini jawatankuasa khas diketuainya sedang merangka kaedah kawalan terhadap penggunaan vape dan shisha.

Berita Harian X