Ahad, 28 Julai 2019 | 8:24pm
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Rohanis Shukri
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. - NSTP/Rohanis Shukri

Kes denggi meningkat 89.5 peratus tahun ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 72,356 kes denggi dilaporkan di Malaysia sepanjang Januari hingga 20 Julai lalu, berbanding 38,190 kes bagi tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan drastik sebanyak 89.5 peratus pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kematian disebabkan penyakit itu juga meningkat 108 kes berbanding 61 kes tahun lalu iaitu peningkatan 77 peratus.

“Kes denggi menunjukkan peningkatan bermula Mei lalu,” katanya satu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 40, 849 kes, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 8,794 kes, diikuti Johor (6,057 kes).

Sementara itu, Dzulkefly berkata, sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan juga disambut sekali dengan Konvensyen COMBI (Communication For Behavioral Impact) dan tema dipilih tahun ini ialah “Banteras Denggi, bermula dengan saya”.

Beliau berkata, tema ini bertepatan untuk membuktikan peranan setiap individu dan komuniti amat penting bagi aktiviti pencegahan denggi.

Katanya, semua pihak termasuk masyarakat, agensi swasta dan media berperanan penting bagi menjamin kejayaan pencegahan Denggi secara berterusan. – BERNAMA

Berita Harian X