Isnin, 29 Julai 2019 | 11:45am

Pinda dua akta mudahkan semua pihak - Xavier

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Hak Milik Strata 1985 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dijangka dibentangkan di Parlimen, Mac tahun depan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata pihaknya melalui Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) sedang melakukan kajian bagi meminda dua akta terbabit bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, proses kajian sedang berlangsung dan akan dibentangkan dalam Majlis Tanah Negara.

“Selepas itu, kita akan hantar dokumen berkaitan ke Pejabat Peguam Negara dan dibentangkan ke Parlimen, Mac ini.

“Usaha ini adalah langkah memudahkan cara pembangunan semula membabitkan skim pembangunan berstrata bagi mengatasi masalah bangunan usang dan terbiar.

“Selain itu, pindaan berkaitan pusaka memberi kemudahan kepada rakyat dalam urusan pusaka kecil dengan memendekkan tempoh masa penyelesaian dan memperkemaskan pengurusan harta pusaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Tanah Negara 2019 dan Persidangan Pentadbir Tanah Ke-25 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan sistem pengurusan bersepadu e-Tanah, Xavier berkata ia akan diperluaskan ke baki negeri di Semenanjung menjelang 2021.

Beliau berkata, ia susulan kerajaan bersetuju untuk menanggung kos dengan Kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).

“Hanya Wilayah Persekutuan sahaja yang sudah melaksanakan sistem ini 100 peratus, manakala terdapat beberapa negeri lain sudah melaksanakan seperti Pulau Pinang dan Perak tetapi belum sepenuhnya.

“Kita akan terus komited dalam sesi libat urus bersama kerajaan negeri untuk memastikan pelaksanaan e-Tanah ini difahami dan diterima.

“Pelaksanaan sistem ini mempercepatkan proses berkaitan terutama membabitkan orang awam, memudahkan urusan berkaitan tanah dan meningkatkan pembayaran fi,” katanya.

Xavier pada sidang media selepas majlis Sambutan Hari Tanah Negara 2019 dan Persidangan Pentadbir Tanah Ke-25 di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Xavier pada sidang media selepas majlis Sambutan Hari Tanah Negara 2019 dan Persidangan Pentadbir Tanah Ke-25 di Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X