Isnin, 29 Julai 2019 | 12:19pm
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto NSTP

Dukungan bipartisan terhadap PM lembaran baharu politik negara - Azmin

PUTRAJAYA: Sokongan PAS dan UMNO terhadap kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal membuktikan keyakinan rakyat terhadap negarawan ulung negara itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sokongan yang dinyatakan menerusi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu menjelaskan dukungan bipartisan terhadap Dr Mahathir.

Beliau berkata, dukungan itu adalah lembaran baharu dalam politik Malaysia di mana kepentingan rakyat diberikan keutamaan.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, perbezaan politik akan tetap wujud.

“Namun setiap perbezaan itu perlu diurus dengan baik demi menjamin kepentingan rakyat.

“Kepemimpinan Tun Dr Mahathir diperlukan untuk menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar kerajaan bagi merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan serta kekayaan untuk semua.

“Saya yakin kestabilan politik akan menjana keutuhan dasar dan kebijakan negara termasuk konsep ‘shared prosperity’ yang bakal mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR, berkata mandat rakyat yang diterima oleh Pakatan Harapan lebih setahun yang lalu memerlukan kestabilan demi melaksanakan reformasi institusi dan langkah positif untuk memulihkan ekonomi.

Beliau berkata, kejayaan melaksana agenda serampang dua mata ini akan memberikan manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

“Justeru, saya mengalu-alukan kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan pendirian PAS dan UMNO untuk memberikan dukungan penuh kepada Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Pendirian itu adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.

Berita Harian X