Isnin, 29 Julai 2019 | 2:45pm
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SPR pamer Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Kedua 2019

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 27,505 permohonan pendaftaran pemilih baharu dan 11,627 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar bagi pendaftaran pemilih Suku Tahun Kedua 2019 (ST2/2019).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata selaras Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi ST2/2019 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 31 Julai hingga 13 Ogos di 957 tempat pameran di seluruh negara.

Beliau berkata, pemohon yang sudah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April hingga 30 Jun dinasihatkan menyemak nama dalam Rang DPT ST2/2019.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST2/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B. Bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST2/2019 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semasa tempoh Pameran Rang DPT ST2/2019, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih.

Katanya, antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih terbabit daripada daftar pemilih ialah kerana mereka sudah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Mengulas lanjut, Azhar Azizan berkata, bagi pegawai dan anggota polis dan tentera sudah tamat perkhidmatan, SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka dari lokaliti polis dan tentera ke lokaliti awam dengan mengekalkan bahagian pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada masing-masing.

“Tindakan pengemaskinian bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kerana sudah menamatkan perkhidmatan polis atau tentera.

“Jumlah yang terbabit ialah seramai 959 orang yang terdiri daripada 121 pesara tentera, 834 pesara polis dan empat pasangan pesara Pasukan Gerakan Am (PGA). Semua nama pesara tentera dan polis serta pasangan juga dipamerkan semasa Pameran Rang DPT kali ini,” katanya.

Sehubungan itu, semua pemohon yang sudah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang sudah memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 April hingga 30 Jun supaya membuat semakan nama mereka di tempat pameran yang sudah diwartakan.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST2/2019 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST2/2019.

Berita Harian X