Isnin, 29 Julai 2019 | 3:55pm

Ibu bapa, komuniti perlu pastikan keselamatan anak ke sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak berhasrat meminda waktu persekolahan di seluruh negara sebaliknya menasihatkan ibu bapa supaya memastikan keselamatan anak mereka ke sekolah.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian masih kekal dengan keputusan mengenai waktu persekolahan sedia ada selain tiada perancangan untuk mempercepatkan atau melambatkan sesi persekolahan.

“Kementerian pendidikan masih kekal dengan waktu persekolahan, kita tidak pernah awalkan. Jadi apa yang berlaku untuk ke sekolah ialah kita meminta ibu bapa dan komuniti memberi perhatian kepada kebajikan anak-anak mereka.

“Bagi pihak sekolah, kita tidak pernah menganjak cepat sistem persekolahan kerana kita perlu melihat sekolah ada dua sesi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di sini, hari ini.

BH dalam laporan eksklusifnya hari ini melaporkan keadaan gelap atau kelam kerana kurang pencahayaan di kawasan laluan ke sekolah, boleh menyebabkan pelajar yang keluar awal untuk persekolahan sesi pagi terdedah menjadi mangsa jenayah.

Keadaan bertambah berisiko jika kiri dan kanan laluan pula dipenuhi semak atau belukar, persekitaran sunyi atau terlindung daripada penglihatan umum kerana terletak di celah bangunan atau deretan kediaman.

Mengulas mengenai laporan tahunan 2018 PPPM 2013-2025, Maszlee berkata, laporan tahunan itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dan perkembangan yang signifikan.

“Kadar enrolmen prasekolah kebangsaan meningkat kepada 85.4 peratus pada tahun lalu berbanding 84.3 peratus pada 2017. Sekolah penarafan KBAT yang mencapai tahap cemerlang meningkat kepada 67 peratus pada tahun lalu berbanding hanya 4.7 peratus pada 2017.

“Ini antara peningkatan yang dilaporkan. Banyak kemajuan ketara yang dicapai dalam memastikan sistem pendidikan kita berkualiti,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) akan mengemukakan laporannya berhubung penelitian dasar pendidikan pada hujung tahun ini.

“Kita masih dalam proses penelitian terhadap cadangan dan laporan daripada JKDPN dan hujung tahun ini kita akan kemukakan langkah-langkah yang lebih intensif.

“Secara umumnya, dapatan kajian itu selepas enam bulan penilaian dan analisis yang dibuat menunjukkan bahawa walaupun PPPM 2013-2025 kekal relevan, masih terdapat perubahan yang lebih berani dan bercita-cita tinggi mesti dilakukan,” katanya.

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X