Isnin, 29 Julai 2019 | 6:37pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Pencapaian positif PPPM perlu diteruskan

KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan kekal relevan dan menjadi panduan dalam menambah baik sistem pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata momentum yang diperoleh hasil pencapaian positif Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 perlu diteruskan bagi membawa perubahan besar dan bermakna kepada pendidikan negara.

“Kita akan terus mengekalkan momentum positif yang diusahakan selama tempoh enam tahun ini dan akan berusaha dengan lebih lagi.

“Setiap perkara yang dipelajari hasil pelaksanaan PPPM 2013-2025 akan dijadikan panduan untuk memulakan perjalanan baharu. Kementerian pastinya akan merintis secara tekal dan menganalisa dapatan sebelum sebarang inisiatif dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Laporan Tahunan 2018 PPPM 2013-2025 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin.

Maszlee berkata, PPPM 2013-2025 adalah dokumen komprehensif dan menjadi asas dalam mereformasi pendidikan negara

“Kementerian berkongsi cabaran yang dihadapi dalam pendidikan. Atas sebab inilah kita sedang melihat semula PPPM dan mengadaptasikannya dengan perubahan semasa.

“Atas sebab ini juga kita menubuhkan Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKDPN) sebelum ini. Saya bangga bahawa kita mencapai perkembangan yang sangat signifikan,” katanya.

Berita Harian X