Selasa, 30 Julai 2019 | 11:52am
Al-Sultan Abdullah turun dari kenderaan rasmi Baginda untuk memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya, di Putrajaya. - Ihsan Facebook Istana Negara

Sikap spontan, bersahaja dekat di hati rakyat

BERCAKAP soal dekat di hati rakyat, ramai bersetuju imej itu sinonim dengan Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dari ketika belum bergelar Sultan Pahang atau Yang di-Pertuan Agong lagi, sehinggalah kini bersemayam di singgahsana Istana Negara, sifat serta pembawakan itu sentiasa menebal dalam diri baginda.

Banyak perkongsian melalui media arus perdana, tidak kurang juga berita tular mengenai Al-Sultan Abdullah dimuat naik melalui media sosial, termasuk oleh rakyat jelata, mengenai pengalaman peribadi masing-masing bersama baginda.

Tindakan Al-Sultan Abdullah mencemar duli memberi bantuan kepada mangsa kemalangan jalan raya di Putrajaya awal bulan lalu adalah sebahagian kisah itu. Begitu juga sifat rendah diri baginda berkunjung ke kedai makan, malah beratur seperti rakyat biasa ketika singgah di restoran makanan segera untuk menjamu selera. Semuanya mendapat reaksi positif dan pujian ramai.

“Saya sudah amal lama di Pahang. Apabila ada accident (kemalangan) saya akan terjun (tolong). Mana boleh bawa ke hospital saya bawa, mana tak boleh, pegawai polis saya yang akan bawa.

“Antara sebab saya berhenti dan bantu, selain kalau ada kecederaan, selalu banyak jam (sesak) bila accident (kemalangan). (Saya bantu) nak suruh cepat alihkan kereta ke tepi (dan) panggil polis cepat.

Now you know (sekarang kamu tahu) kenapa saya selalu bantu,” titah baginda sambil tersenyum.

Peluang menemubual baginda di Istana Negara bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, memberi ruang merungkai sifat yang sinonim sebagai ‘DNA’ Al-Sultan Abdullah serta keluarga Diraja Pahang itu.

Tindakan spontan Al-Sultan Abdullah memasuki premis restoran makanan segera dan beratur memesan makanan di kaunter menjadi tumpuan.

Benar tempoh sejam lebih terlalu singkat untuk mentelaah peribadi baginda, namun yang pasti Al-Sultan Abdullah ada kedudukan tersendiri di hati rakyat.

Teringat saya kira-kira 13 tahun lalu ketika disapa spontan Almarhum Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah Al-Musta‘in Billah, ketika membuat liputan lawatan rasmi baginda ke Maktab Pegawai Kanan Polis di Cheras.

Almarhum ketika berjalan meninggalkan majlis, tiba-tiba berhenti di hadapan saya yang berdiri paling hadapan di sisi laluan utama. Puncanya, Almarhum terpandang tag nama yang saya pakai, tertera perkataan media.

“Hah, kamu nak apa?” sapa Almarhum sambil tersenyum, dengan nadanya lembut dan bersahaja.

Seakan-akan automatik soalan mengenai penubuhan Universiti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang baru dicadangkan, tersembul keluar daripada mulut saya.

“Baru cadang...it will happen soon in Pahang (ia akan terjadi tidak lama lagi di Pahang)” titah Almarhum ringkas, sebelum menyambung langkah meninggalkan majlis.

Saya kini faham sikap spontan dan tidak kekok bersama rakyat dimiliki Al-Sultan Abdullah sebenarnya diwarisi daripada Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Ketika ditanya, Al-Sultan Abdullah bertitah, “bukan sahaja daripada Paduka Ayahanda (Allahyarham Sultan Ahmad Shah), malah daripada nenda saya (Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al-Mu‘adzam Shah). Ia sebati dengan kita. Saya lebih selesa kalau dengan rakyat”.

Sepanjang temu bual, Al-Sultan Abdullah banyak bergurau ketika berkongsi pelbagai kisah. Seolah-olah kehadiran media mengurangkan ‘tekanan’ protokol di Istana Negara. Baginda sendiri mengakui kurang minat dengan protokol.

Dari minat terhadap genre R&B dan muzik lembut, sehinggalah lagu dendangan Lionel Richie yang digemari, dikongsi baginda. Tidak hairanlah perwatakan Al-Sultan Abdullah cukup tenang dan bersahaja. Artis tempatan pula, Jamal Abdillah dan Spring, khususnya suara penyanyinya, Ameng jadi pilihan.

Baginda juga mahu bermain dram, namun sempat bergurau dengan wartawan mengatakan bimbang mungkin akan merosakkan alat muzik itu.

Ditanya jika diberi pilihan andai tidak menjadi Raja, Al-Sultan Abdullah mengakui sejak muda ingin menjadi tentera. Mungkin minat ini mendorong disiplin tinggi dalam diri, selain didikan daripada Almarhum Paduka Ayahanda melalui pelbagai tanggungjawab yang digalas.

Seperti individu lain, memakai uniform (tentera) pada pandangan Al-Sultan Abdullah cukup segak dan membuatkan diri baginda bangga.

Seperti Almarhum Paduka Ayahanda, Al-Sultan Abdullah juga dekat dengan dunia sukan. Terasa diri saya semakin dekat dengan Al-Sultan Abdullah apabila nama kelab Arsenal yang terkenal sebagai ‘The Gunners’ jadi pilihan. Dalam saingan Piala Dunia pula, Jerman digemari, namun untuk temasya 2022, Brazil lebih berpotensi.

Banyak sebenarnya ingin dikongsi baginda dengan kami, namun tempoh sejam diberikan sangat pantas berlalu. Walaupun pegawai protokol terpaksa meminta soalan akhir diajukan untuk menamatkan sesi temu bual, baginda masih memberi ruang kepada kami. Sebelum menamatkan sesi temu bual pun baginda bertanyakan setiap seorang daripada sembilan wartawan yang hadir, sekiranya kami masih ada soalan ingin diajukan.

“Saya selalu anggap (diri) sebagai rakyat, saya tak menganggap (diri) sebagai Raja. Protokol tu ada, tetapi saya tak boleh kaku sangat. Kerana itu, secara spontan saya akan buat apa yang boleh mendekatkan saya dengan rakyat.

“Yang mana boleh turun padang, boleh dekat dengan rakyat, bersalam dengan rakyat, bercakap dengan rakyat, saya akan buat. Sorry (maaf) la (bahagian) protokol, saya akan buat,” titah baginda.

Bercakap soal spontan, tidak terbayang dalam diri saya untuk melihat Yang di-Pertuan Agong memegang kamera pintar milik wartawan dan mengambil ‘selfie’ bersama mereka sejurus temu bual selesai. Itulah Al-Sultan Abdullah yang tidak pernah kekok bersama rakyat.

Di sebalik sifat bersahaja dan spontan, pembawakan itu sedikit pun tidak mengurangkan rasa hormat rakyat kepada baginda, malah lebih menyuntik rasa sayang dan kasih yang menebal.

Menyedari tembok Istana Negara ibarat ‘pemisah’ antara baginda dengan rakyat, Al-Sultan Abdullah melakukan pembaharuan.

Antaranya, mengisytihar Surau Utama Istana Negara untuk solat Jumaat, agar lebih dekat dengan rakyat. Baginda juga bersolat Jumaat di masjid berbeza di berlainan negeri dua minggu sekali.

Berita Harian X