Rabu, 31 Julai 2019 | 8:15am
Hasim semasa temu bual eksklusif oleh BERNAMA mengenai persediaan Melaka sebagai tuan rumah bagi Pelancaran Bulan Kebangsaan 2019 di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh. - Foto BERNAMA
Hasim semasa temu bual eksklusif oleh BERNAMA mengenai persediaan Melaka sebagai tuan rumah bagi Pelancaran Bulan Kebangsaan 2019 di pejabatnya di Seri Negeri Ayer Keroh. - Foto BERNAMA

Bulan Kebangsaan platform zahirkan penghargaan kepada negara

MELAKA: Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir, Sabtu ini, bukan sahaja medium bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, malah pentas menzahirkan penghargaan terhadap pejuang negara terdahulu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan berkata menerusi program julung kali diadakan di Melaka itu, rakyat berbilang kaum dan agama berpeluang membuktikan kesyukuran dan meningkatkan semangat cintakan tanah air dalam pelbagai cara.

“Sebagai rakyat Malaysia, banyak nikmat kemerdekaan dikecapi hasil perjuangan pejuang kemerdekaan terdahulu dan nikmat kemerdekaan ini tidak mungkin dapat kita rasai tanpa kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Sebagai mengenang jasa dan tanda terima kasih tidak terhingga, kita harapkan pada Sabtu ini perasaan itu turut sama dizahirkan semula oleh lebih 30,000 orang yang dijangka hadir ke program berkenaan.

“Ini sebagai tanda penghargaan kepada pejuang negara dalam menuntut kemerdekaan,” katanya kepada BERNAMA di sini.

Rabu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah, dan negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara yang diadakan di Bandar Hilir pada 20 Februari 1956.

Dataran Pahlawan turut dikenali Padang Bandar Hilir, adalah tempat bersejarah dengan kawasan itu menjadi lokasi menyambut kepulangan Rombongan Kemerdekaan dari London diketuai Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Mengulas lanjut sambutan program yang diadakan Sabtu ini, Hasim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 berkata, Larian Merdeka akan diadakan seawal jam 6 pagi pada hari berkenaan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan melancarkan program itu pada sebelah malam diikuti pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

Katanya, majlis sambutan itu dijadual turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari; Gobind serta barisan EXCO kerajaan negeri.

Hasim berkata, antara kelainan sempena sambutan pelancaran itu, pengunjung berpeluang merakam gambar mereka melalui kamera khas disediakan di Dataran Pahlawan, jam 3 petang pada 2 Ogos, untuk dijadikan montaj sempena sambutan Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 September).

“Gambar itu juga akan dimasukkan dalam sistem untuk dijadikan sebahagian imej silih ganti yang bakal ditayangkan di setiap papan iklan LED (diod pemancar cahaya) di sekitar kawasan Dataran Pahlawan dan Hotel Hatten di Bandar Hilir,” katanya.

Beliau berkata, tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ bertepatan dengan slogan kerajaan negeri, ‘Melaka Berwibawa: Pintar, Hijau, Bersih’ iaitu selaras dengan dasar dan komitmen utama Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani isu berkaitan pengurusan pentadbiran, integriti dan antirasuah.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung program itu menerusi laman Facebook rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 iaitu Merdeka360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.my.

Sementara itu, beliau berkata beberapa jalan di sekitar Bandar Hilir akan ditutup secara berperingkat ketika program itu berlangsung.

Katanya, beberapa lokasi sudah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan parkir bagi memudahkan orang ramai meletakkan kenderaan untuk menghadiri program itu.

“Orang ramai diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas di kawasan itu,” katanya - BERNAMA

Berita Harian X