Rabu, 31 Julai 2019 | 2:10pm
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh. - NSTP/Mahzir Mat Isa

109,022 suri rumah dan wanita daftar i-Suri hingga Jun

KUALA LUMPUR: Seramai 109,022 suri rumah dan wanita sudah mendaftar di bawah program Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) setakat 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata jumlah pendaftaran berkenaan melebihi sasaran ditetapkan kementerian iaitu 100,000 orang.

Katanya, Kelantan negeri paling tinggi pendaftaran i-Suri iaitu seramai 20,213 orang diikuti Sarawak dan Terengganu, masing-masing 18,364 dan 17,731 orang.

“Bagi menggalakkan pendaftaran i-Suri dalam kalangan wanita dan suri rumah yang memenuhi kriteria kelayakan, kementerian melalui agensi pelaksana seperti Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) masih menggiatkan aktiviti promosi i-Suri melalui inisiatif pasukan bergerak dan siaran media,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Yeoh menjawab soalan Senator Nuridah Mohd Salleh yang ingin tahu jumlah peserta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Suri di setiap negeri dan tindakan yang dilakukan untuk menambah peserta dari luar bandar yang kurang literasi teknologi terkini.

Dalam pada itu, Yeoh berkata kerajaan sudah mewujudkan 66 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) baharu di tempat kerja di pelbagai agensi kerajaan pada tahun ini.

Beliau menjawab soalan Senator Asmak Husin yang ingin tahu langkah lain dibuat oleh kerajaan untuk memastikan kerjaya suri rumah diperkukuhkan dan pembangunan kerjaya dimantapkan - BERNAMA

Berita Harian X