Rabu, 31 Julai 2019 | 5:15pm
Jambatan angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu akan dibuka esok. - Foto NSTP

Jambatan angkat dibuka semula esok

KUALA TERENGGANU: Jambatan angkat atau `drawbridge’ akan dibuka semula kepada orang awam bermula jam 6 pagi esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata semua jenis kenderaan dibenarkan menggunakan laluan di jambatan angkat itu tetapi dilarang meletakkan atau berhenti kerana boleh mengganggu kelancaran aliran trafik.


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - NSTP/Rozainah Zakaria

“Pengunjung yang ingin melawat diminta meletakkan kenderaan mereka di ruang parkir yang disediakan di bawah jambatan dan menggunakan tangga atau lif.

“Ruang komersial di ‘sky bridge’ masih belum dibuka dan pengunjung tidak dibenarkan memasuki ruang lobi dan menggunakan tangga atau lif di menara jambatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau juga berharap pembukaan jambatan ikonik itu akan memberi impak kepada sektor pelancongan Terengganu seterusnya merangsang pertumbuhan ekonomi, di samping memperkenalkan negeri ini di mata dunia.

”Saya berharap agensi pelancongan dapat memasukkan lawatan ke jambatan angkat ini dalam pakej pelancong ke Terengganu, selain produk pelancongan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar jambatan angkat itu mendapati kerja dan persiapan akhir sedang giat dijalankan oleh kontraktor utama dan operator, Terengganu Incorporated Sdn Bhd yang dilantik kerajaan negeri.

Ia turut membabitkan pengujian sistem hidraulik jambatan, keselamatan dan lalu lintas.

Pembinaan jambatan unik yang juga sebahagian projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu membabitkan kos RM248 juta dan menjadi mercu tanda ikonik baharu yang pertama seumpamanya di tanah air dan Asia Tenggara.

Jambatan sepanjang 638 meter dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu adalah komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Mula dibina pada Ogos 2014, jambatan angkat terpanjang di dunia itu yang disokong dua menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan dan boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan dari dalam dan luar negara.

Berita Harian X