Khamis, 1 Ogos 2019 | 4:33pm
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub. - NSTP/Salhani Ibrahim

Bekalan ibadah korban melebihi permintaan

PUTRAJAYA: Bekalan lembu, kerbau dan kambing untuk ibadat korban sempena Aidiladha minggu depan bukan saja dijamin mencukupi, malah melebihi permintaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata jumlah itu berdasarkan perangkaan bekalan semasa lembu tempatan dan lembu yang diimport dalam tempoh tiga bulan sebelum perayaan.

Katanya, selain bekalan ternakan tempatan, sumber bekalan ternakan lembu itu turut diimport dari Thailand dan Australia, manakala kambing dan biri-biri diimport dari Australia.

“Mengikut statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) stok bekalan lembu bagi penyembelihan hari raya korban sehingga Jun lalu adalah 48,048 ekor, manakala kambing dan biri-biri sebanyak 35,940 ekor,” katanya kepada media selepas Dialog Industri Ruminan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalannya, Sim Tze Tzin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Mohd Sallehuddin Hassan.

Selepas mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelih, dianggarkan permintaan lembu dan kerbau untuk ibadat korban ialah 43,808 ekor dan kambing serta biri-biri sebanyak 21,832 ekor untuk tahun ini.

Seramai 317 pegawai DSV ditugaskan bagi membuat pemeriksaan veterinar di seluruh negara bermula 10 hingga 14 Ogos.

Salahuddin berkata, sebanyak 28 rumah sembelih DVS di seluruh negara sedia beroperasi dan 12 daripadanya memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan dari Australia.

Katanya, sehingga tahun ini, DVS turut mengeluarkan lesen kepada 44 rumah sembelih ruminan swasta di seluruh negara bagi penyembelihan ternakan korban.

Beliau menasihatkan penyembelihan diadakan di luar rumah sembelihan seperti masjid, sekolah, taman perumahan dan tempat awam perlu mendapatkan permit penyembelihan melalui rumah sembelih DVS serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri dan daerah.

“Dokumen wajib perlu dikemukakan bagi setiap permohonan penyembelihan ternakan untuk penyembelihan korban ini adalah Akuan Kebenaran Pindah Ternakan dan Sijil Kesihatan Veterinar (SKV).

“SKV adalah Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban bagi mengambil kira aspek keselamatan makanan dan undang-undang serta peraturan mengenai pemantauan ternakan korban, premis penyembelihan, operasi penyembelihan dan pengurusan sisa ternakan bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit zoonotik,” katanya.

Berita Harian X