Khamis, 1 Ogos 2019 | 7:07pm
Pegawai penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan gula-gula Ghost Smoke - Cool Fruit Powder di premis pemborong dan peruncit. - Foto ihsan KPDNHEP

12 kertas siasatan, 1,762 paket gula-gula Ghost Smoke dirampas

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah membuka 12 kertas siasatan dan merampas 1,762 paket gula-gula Ghost Smoke untuk siasatan.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata ia susulan pemeriksaan dijalankan anggota penguat kuasa kementerian itu di seluruh negara bermula 23 hingga 31 Julai lalu.

Beliau berkata, gula-gula yang mengeluarkan asap apabila dimakan itu dijual pada harga 50 sen sepaket secara meluas kepada pelajar sekolah.

“Sepanjang pemeriksaan iaitu dari 23 hingga 31 Julai 2019, sebanyak 2,401 premis di peringkat pemborong dan peruncit telah diperiksa.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana disyaki menjual barangan yang menggunakan perihal dagangan palsu.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang terbabit boleh didenda tidak melebihi RM250,000 bagi satu pertubuhan perbadanan, sebaliknya bagi peniaga bukan pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pegawai penguat kuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan gula-gula Ghost Smoke - Cool Fruit Powder di premis pemborong dan peruncit. - Foto ihsan KPDNHEP

Iskandar Halim berkata, KPDNHEP memberi amaran dan mengingatkan kepada mana-mana peniaga supaya menghentikan segera penjualan gula-gula berkenaan.

“Sekiranya dijumpai mana-mana premis yang menjual gula-gula itu di pasaran, ibu bapa dan masyarakat boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau WhatsApp ke 019-2794317 atau melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my untuk diambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan gula-gula Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut dikatakan dijual secara berleluasa di daerah Papar, selain daerah lain di Sabah.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Papar, Mohd Fauzi Sahat, dilaporkan berkata kebanyakan yang membeli gula-gula itu adalah murid Tahun Lima dan Enam, malah beliau sudah menulis surat kepada sekolah dan mengingatkan ibu bapa mengenai budaya buruk bakal timbul daripada gula-gula berkenaan.

Berikutan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengarahkan penguat kuasa turun padang bagi memeriksa dan memantau penjualan gula-gula berkenaan.

Berita Harian X