Jumaat, 2 Ogos 2019 | 2:45pm
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pada sambutan University Scholars Leadership Symposium (USLS) yang ke-10 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. - Foto Saddam Yusoff

Kepemimpinan perlu babitkan nilai mulia - PM

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kepemimpinan bukan sesuatu yang sukar kerana ia membabitkan amalan seharian.

Perdana Menteri berkata, sebagai seorang pemimpin, seseorang perlu berintegriti dan jujur kerana tanpanya, pemimpin akan terbabit rasuah dan tidak dipercayai.

Beliau berkata, pemimpin juga perlu bersedia bekerja keras dan berbangga dengan tugas dijalankan, selain terus menambah pengetahuan serta menyedari perubahan di keliling mereka terutama ketika berdepan kemajuan teknologi dan cabarannya.

“Jika pemimpin tidak menyedari perubahan ini, mereka tidak mampu meyakinkan negara kepentingan untuk mengetahui aliran zaman dan menyebabkan negara ketinggalan.

“Satu lagi nilai yang mungkin tidak diberikan penekanan wajar ialah rendah diri. Tanpanya, ego yang akan memacu seseorang pemimpin.


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memotong kek sebagai simbolik sambutan University Scholars Leadership Symposium (USLS) yang ke-10 di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam. Turut bersama Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Kemanusiaan Asia, Kim Solomon. - Foto Saddam Yusoff

“Sudah tentu ada pihak yang menyatakan ego boleh juga menjadi sesuatu yang positif kerana ia menjadikan seseorang pemimpin bertekad dan berdaya saing, tetapi ego yang kita fahami, boleh juga memusnahkan kerana ia mampu menyebabkan pemimpin tidak boleh menerima kritikan dan pendapat berbeza,” katanya ketika berucap merasmikan 10th University Scholars Leadership Symposium 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Dr Mahathir berkata, golongan muda perlu berpegang kepada nilai baik dan menyemainya dalam kehidupan, sekali gus menjadikannya satu kebiasaan.

Beliau berkata, sikap rendah diri juga tidak menjadikan seseorang itu lemah, sebaliknya ia mendekatkan lagi dengan penyokong dan orang yang menjadikannya pemimpin kerana jika pemimpin hilang sokongan, mereka tidak lagi menjadi pemimpin.

“Jika golongan muda dapat menjadikan nilai baik sebagai kebiasaan, ia dapat memberi jaminan masyarakat berada di landasan yang benar.

“Amat penting untuk golongan muda yang akan mewarisi masa depan, menyedari jika mereka mengekalkan impian dan nilai masing-masing, akan ada harapan untuk dunia yang sudah tergelincir kini kembali ke landasan sebenarnya, sekali gus memberi peluang kepada kemanusiaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, jika nilai dan idea mulia diketepikan dalam kepesatan dunia, negara akan ketandusan kemanusiaan dan kesabaran serta hilang sifat rendah diri dan sensitiviti.

“Jika kita percaya dengan memberi yang terbaik kepada negara sesuatu yang mulia dan wajar, negara kita akan dikurniakan rakyat yang bertanggungjawab dan mempunyai nurani,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia berjaya bertahan dan kekal menjadi negara pelbagai bangsa yang bersatu walaupun ada usaha golongan pentaasub dan fanatik untuk memecah belah serta mengganggu objektif bersama ini.

Katanya, rakyat negara ini juga berbangga dengan kepelbagaian dan kemampuan memastikan Malaysia bersatu dan berubah dari negara pertanian ke negara perindustrian.

Berita Harian X