Jumaat, 2 Ogos 2019 | 8:01pm
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim (tengah) memegang Cogan Agama dan Cogan Alam pada sidang media pameran Raja Kita 2019 di Muzium Diraja. - NSTP/Rohanis Shukri
Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim (tengah) memegang Cogan Agama dan Cogan Alam pada sidang media pameran Raja Kita 2019 di Muzium Diraja. - NSTP/Rohanis Shukri

Pameran Raja Kita sasar 50,000 pengunjung

KUALA LUMPUR:  Sejumlah 198 koleksi barangan kebesaran institusi raja dipamerkan pada Pameran Raja Kita yang akan diadakan di Muzium Diraja di sini, dengan jangkaan 50,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga bulan berlangsung bermula lsnin ini.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A Kasim, berkata antara koleksi dipamerkan termasuk alat kebesaran diraja dari Istana Negara yang digunakan pada upacara istiadat pertabalan, alat kebesaran dari Istana Abdulaziz, Kuantan Dan Istana Abu Bakar, Pekan serta barangan dari pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Kakitangan Jabatan Muzium Malaysia, Nor Asmah Abu Samah (kiri) dan Nurizma Syahida memeriksa  Cokmar Diraja pada sidang media Pameran Raja Kita di Muzium Diraja. - NSTP/Rohanis Shukri
Kakitangan Jabatan Muzium Malaysia, Nor Asmah Abu Samah (kiri) dan Nurizma Syahida memeriksa  Cokmar Diraja pada sidang media Pameran Raja Kita di Muzium Diraja. - NSTP/Rohanis Shukri

Beliau berkata, pameran bertujuan memberi kefahaman berhubung institusi raja merangkumi bidang tugas, personaliti dan latar belakang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Usaha ini membantu generasi muda memahami struktur pentadbiran selain memartabatkan institusi raja dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, memahami penubuhan Majlis Raja-raja serta pelantikan Al-Sultan Abdullah,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.\

Beliau berkata, pameran turut memaklumkan konsep Raja Berperlembagaan untuk terus dipelihara hingga ke generasi akan datang sebagai lambang kedaulatan tampuk pimpinan yang memayungi rakyat.

Majlis perasmian dijadual berlangsung Isnin ini menyaksikan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli.  Majlis dijadual turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohamaddin Ketapi.

Mengulas lanjut, Kamarul berkata, pameran menggunakan pendekatan baharu mesra pengunjung dengan aplikasi teknologi kod realiti terimbuh atau Augmented Reality' (AR) code, hologram dan interaktif.

Beliau berkata, lebih istimewa kalung dan gendik yang akan dipamerkan secara eksklusif hanya pada hari perasmian dan pembukaan kepada umum, Selasa ini.

Katanya, koleksi lain yang dipertontonkan termasuk cogan agama, cogan alam, tengkolok, pending, keris panjang dan sundang yang digunakan pada hari istiadat pertabalan.

"Pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat koleksi peribadi antaranya baju kurung kegemaran baginda termasuk baju pernikahan dan persalinan sempena pemansyhuran sebagai Tengku Ampuan Pahang.

“Antara lain, koleksi peralatan menjahit, memasak serta beberapa tas tangan yang dihadiahkan oleh Seri Paduka," katanya. 

Sehubungan itu, katanya, orang ramai digalakkan hadir dan tidak melepaskan peluang ke pameran percuma ini kerana  bersifat pendidikan.

"Kita berharap orang ramai terutama ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak berkunjung ke pameran ini sempena cuti sekolah nanti," katanya.

Berita Harian X