Sabtu, 3 Ogos 2019 | 2:29pm
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye. - Foto Luqman Hakim Zubir

Kementerian Kesihatan sekat peranti vape dibawa masuk ke sekolah

IPOH: Kementerian Kesihatan akan menyekat penggunaan peranti rokok elektronik atau vape dalam bentuk jam tangan dan pen yang dikesan digunakan dalam kalangan murid di sekolah.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, pihaknya akan terus mengambil tindakan terhadap murid yang membawa alat peranti vape ke sekolah.

“Jadi, apabila murid (dikesan) ada membawa alat terbabit, ia akan disita serta-merta. Guru dan ibu perlu memberi perhatian kepada anak mereka kerana kadang kala mereka mengatakan membeli jam tangan (padahal) peranti vape,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima pada Majlis Amal Persatuan Warga Emas Shou Hup di Taman Soon Choon di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, sebelum ini pihaknya sudah mengadakan sesi dialog bersama industri vape bagi melarang penjualan vape dalam kalangan pelajar sekolah.

Katanya, antara langkah diambil oleh industri adalah dengan menarik balik peranti vape jam tangan itu dari pasaran, justeru jika ada permohonan peniaga atau pemborong untuk menjual produk itu, pengilang harus menjelaskan bahawa ia tidak lagi dijual.

Dalam isu berasingan, Dr Boon Chye berkata, hasil kajian dan analisis yang dilakukan Kementerian Kesihatan terhadap gula-gula berasap atau Ghost Smoke mendapati ia tidak berbahaya daripada aspek kesihatan.

Bagaimanapun, katanya, kajian lanjut masih dilakukan untuk mengkaji mekanisme dan mengenal pasti punca bagaimana gula-gula Ghost Smoke boleh mengeluarkan asap.

“Kita ada menghantar sampel kepada beberapa universiti untuk (mengkaji) dan memeriksa mekanisme (bagaimana boleh) berasap, setakat ini kita belum ada keputusan.

“Bagaimanapun, penggunaan gula-gula Ghost Smoke ini menyerupai (orang yang) merokok, jadi kita tidak menggalakkan makanan sedemikian untuk kanak-kanak.

“Kita juga mendapati bahawa label pada Ghost Smoke tidak betul dan tidak menepati piawaian ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini dilaporkan, berkata Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan di bawah kementerian itu sudah mengambil sampel dan melakukan ujian serta siasatan terhadap produk berkenaan yang muncul di pasaran baru-baru ini.

Media sebelum ini melaporkan kebimbangan ibu bapa berhubung penjualan Ghost Smoke yang mengeluarkan asap seakan-akan rokok apabila disedut.

Berita Harian X