Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:31am

Pengumuman peralihan siaran TV analog secara berperingkat

LANGKAWI: Satu lagi sejarah dalam industri penyiaran negara bakal dicatatkan, dengan pengumuman peralihan siaran televisyen analog secara berperingkat, yang bakal membolehkan pengguna beralih ke siaran televisyen digital myFreeview sepenuhnya.

Pengumuman bersejarah akan dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind, Singh Deo, dalam satu majlis di Kompleks Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Langkawi petang ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerjanya turut melakukan tinjauan kejayaan peralihan sistem siaran televisyen dari analog ke digital di pulau peranginan ini, yang sudah memasuki minggu kedua pelaksanaan.

Pada sebelah pagi, Gobind mengadakan lawatan ke pusat internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, sebelum meninjau bilik operasi ‘Analogue Switch Off’ (ASO) di Kompleks APM Daerah Langkawi.

Terma ‘Analogue Switch Off’ (ASO) merujuk kepada peralihan siaran televisyen, yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat oleh RTM sejak 1963 dan oleh TV3 sejak 1984, menggunakan teknologi lama (analog).

Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran televisyen digital sejak 21 Julai lalu, selepas pemancaran televisyen analog dari Gunung Raya, di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran televisyen digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran televisyen digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik.

Pemilihan Langkawi sebagai kawasan rintis bagi permulaan peralihan siaran televisyen analog dibuat memandangkan Langkawi telah mempunyai ekosistem televisyen digital yang mantap, di mana liputan siaran TV Digital adalah menyeluruh, di samping penyelesaian pengagihan dekoder percuma kepada isi rumah Bantuan Sara Hidup (BSH).

Malaysia merupakan negara ketiga di rantau ASEAN yang akan menjalankan peralihan siaran televisyen analog selepas Brunei serta Singapura, yang telah menutup siaran televisyen analog mereka sepenuhnya dan bersiaran TV Digital masing-masing pada 31 Disember 2017 dan 1 Januari 2019. – BERNAMA

Berita Harian X