Selasa, 6 Ogos 2019 | 8:29pm
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. - Foto Asyraf Hamzah

Bantuan kemanusiaan, pembangunan sama mendesak - Sultan Perak

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah penggabungan antara bantuan kemanusiaan dan pembangunan kini menjadi semakin mendesak di tengah-tengah keperluan kemanusiaan yang semakin parah susulan krisis alam sekitar dan politik.

Baginda bertitah, penggerak kemanusiaan hanya dapat menyumbang dengan berkesan ke arah mengurangkan kelemahan dengan membina kapasiti dan daya tahan tempatan dalam jangka panjang

“Dengan memberi tumpuan kepada mereka yang paling memerlukan, penggerak pembangunan akan dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).

“Dengan cara ini, kedua-duanya dapat menyumbang kepada pembangunan negara yang pada akhirnya membawa kepada daya tahan kebangsaan,” titah Sultan Nazrin ketika merasmikan Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa Mercy Malaysia di sini, hari ini.

Baginda memberi gambaran mengenai cadangan dan kemajuan dicapai sejak penyampaian tiga tahun lalu dari laporan meluas bertajuk ‘Too Important To Fail’ oleh Panel Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembiayaan Kemanusiaan yang mana Sultan Nazrin telah berkhidmat dalam panel itu.

Dalam titah bertajuk ‘Tindakan Kemanusiaan dan Pembangunan Negara’, baginda menegaskan panel itulah yang mula-mula mengharapkan agar wujud hubungan lebih erat antara kerja kemanusiaan dan pembangunan, sebahagiannya untuk memastikan sumber digunakan dengan secekap mungkin.

“Mereka berkongsi matlamat asas yang sama untuk membantu pihak paling memerlukan, dan kolaborasi yang lebih baik dapat membantu pencapaian lebih efektif,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, kedua-dua bidang kerja ini perlu memberi tumpuan kepada matlamat bersama untuk mengurangkan kelemahan dan membina ketahanan - objektif yang terkandung dalam SDGs.

Paling relevan, titah baginda, adalah SDGs mengenai kesihatan dan kesejahteraan, sifar lapar, air bersih dan sanitasi, serta bidang lain seperti kesetaraan gender, tindakan iklim, sebagai tambahan kepada perdamaian, keadilan dan institusi yang kuat.

“Seperti kesimpulan panel, dengan bekerjasama ke arah hasil kolektif seperti yang terkandung dalam SDGs, maka agensi kemanusiaan dan pembangunan dapat menyumbang dengan berkesan ke arah mencapai matlamat ini.

“Sumbangan kepada proses pembangunan ini, walau dalam persekitaran terhad dan mencabar akan menyumbang kepada proses pembangunan negara,” titah baginda. – BERNAMA

Berita Harian X