Rabu, 7 Ogos 2019 | 8:58pm

Jenazah penuntut Malaysia dibawa balik minggu depan

PUTRAJAYA: Jenazah Amirul Ashraff Md Azhar, pelajar Malaysia yang meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pangsapuri didiaminya di Sydney, Australia, semalam dijangka dibawa pulang minggu depan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata pegawai Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia sedang berusaha memastikan jenazah penuntut tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Mekatronik di University Technology of Sydney itu dapat dibawa pulang segera.

Beliau berkata, urusan itu dijangka dapat dimuktamadkan selepas proses bedah siasat dan siasatan ke atas pelajar tajaan MARA yang sedang dilakukan pihak berkuasa negara itu diselesaikan.

“Pegawai kita di sana sedang berusaha menyelesaikan beberapa perkara termasuk urusan dokumentasi yang memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

"Menurut pegawai terbabit, jenazah dijangka dapat dibawa pulang ke Malaysia minggu depan," katanya kepada pemberita selepas meraikan 70 pelajar cemerlang menerusi program Budi MARA dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam kejadian itu, Amirul Ashraff, 22, dari Taiping, Perak dikatakan tergelincir dari tingkat 23 pangsapuri didiaminya yang terletak kira-kira lima kilometer dari universiti berkenaan.

Rina berkata, waris Amirul Ashraff telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada MARA menguruskan kepulangan jenazah anak sulung daripada tiga beradik itu.

Dalam pada itu, Rina berkata rayuan Amirul Ashraff untuk mengambil semula peperiksaan lima mata pelajaran yang gagal sudah diluluskan MARA.

“Beliau ada hantar rayuan, MARA proses dan kita luluskan untuk dia menyambung semula pelajaran,” katanya.

Mengenai Program Budi MARA, Rina berkata, kementerian memperuntukkan RM1.65 juta tahun ini bagi membantu 1,500 pelajar MRSM dalam kalangan keluarga berpendapatan B40.

Katanya, 70 pelajar cemerlang yang diraikan hari ini adalah bukti kejayaan program Budi MARA selepas memperoleh Purata Nilai Gred 3.70 dan ke atas dalam peperiksaan semester akhir lalu. – BERNAMA

MENTERI Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada sesi minum petang bersama Pelajar Cemerlang Budi Majlis Amanah Rakyat MARA dan Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Sri Lestari KPLB. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
MENTERI Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada sesi minum petang bersama Pelajar Cemerlang Budi Majlis Amanah Rakyat MARA dan Pelancaran Bulan Kebangsaan & Kibar Jalur Gemilang 2019 Peringkat Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan Sri Lestari KPLB. NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.
Berita Harian X