Khamis, 8 Ogos 2019 | 1:33pm
MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019. - Foto Supian Ahmad

Tindakan diambil jika Grab tak bayar lebihan komisen - Anthony Loke

SUBANG: Kerajaan hanya boleh mengambil tindakan mengikut perundangan berkaitan jika syarikat e-hailing, Grab tidak membayar lebihan komisen sebanyak lima peratus.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pihaknya difahamkan Grab kini sedang melakukan pembayaran balik lebihan komisen itu secara berperingkat, justeru ia memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan.

“Kita tidak mahu ‘micro manage’ (meneliti hal ehwal dalaman) isu komisen kerana pendirian kerajaan ialah hanya mewajibkan Grab membayar balik lebihan kadar lima peratus yang dikenakan sebelum ini.

“Setakat ini, Grab menyatakan persetujuan dan kerajaan berpuas hati dengan perkara berkenaan, namun ia memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Keselamatan Jalan Raya Digi 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty.

Persatuan Pemandu Perkhidmatan E-Hailing Malaysia (MEHDA), semalam dilaporkan menggesa Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan segera terhadap Grab Malaysia selepas pengendali perkhidmatan e-hailing itu gagal membayar balik lebihan komisen mengikut tempoh ditetapkan.

Presiden MEHDA, Daryl Chong, berkata bayaran balik lebihan komisen lima peratus kepada pemandu Grab sepatutnya diselesaikan pada 5 Ogos lalu, berdasarkan kenyataan syarikat menerusi aplikasi untuk pemandu pada 28 Julai lalu.

Jurucakap Grab, Andrew Ju Jin Foo, lewat petang semalam pula dilaporkan berkata, pihaknya giat melaksanakan pembayaran balik secara berperingkat kepada semua pemandu Grab yang sebelum ini memilih menerima tempahan secara manual menerusi aplikasi Grab selepas 11 Julai.

Pada 12 Julai lalu, Loke dilaporkan berkata, kadar komisen maksimum bagi pemandu e-hailing dan teksi, masing-masing ditetapkan pada 20 peratus serta 10 peratus.

Berita Harian X