Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:39am
Dr Mahathir mengiringi Joko Widodo memeriksa barisan kehormat daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja semasa sambutan rasmi di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra pada lawatan rasmi Presiden Indonesia itu ke Malaysia hari ini. - foto BERNAMA

PM terima kunjungan hormat Presiden Indonesia

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menerima kunjungan hormat dari Presiden Indonesia, Joko Widodo di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Kunjungan hormat itu dibuat bersempena lawatan rasmi selama dua hari Joko ke Malaysia bermula semalam.

Turut mengiringi Joko atau yang lebih mesra dikenali sebagai Jokowi pada lawatan kali ini ialah isterinya, Iriana Joko Widodo.

Pertemuan empat mata antara kedua-dua pemimpin antara lain membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala dan kepentingan serantau.

Jokowi dalam ciap Twitter berkata, antara perkara yang ingin dibincang bersama Dr Mahathir termasuk soal perlindungan warganegara Indonesia, kerjasama perbatasan dan diskriminasi produk kelapa sawit kedua-dua negara.​​​​​​

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini adalah lawatan pertama Jokowi ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April lalu. Jokowi tiba bersama isteri di Malaysia petang semalam.

Indonesia adalah negara jiran paling dekat dan terpenting bagi Malaysia dan juga rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (US$17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (US$16.62 billion) pada 2017.

Terdahulu, Jokowi yang tiba di sini jam 10.28 pagi, diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana sempena lawatan rasmi beliau selama dua hari ke Malaysia. Ketibaan mereka disambut Dr Mahathir serta isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Ali.

Selepas lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan, beliau memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Shaiful Amir Omar.

Jokowi kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir. – BERNAMA

Berita Harian X