Jumaat, 9 Ogos 2019 | 12:13pm
MENTERI Sumber Manusia M Kula Segaran (lima dari kiri) menyaksikan Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF), Elanjelian Venugopal (dua dari kiri), Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Sutekno Ahmad Belon (empat dari kiri) dan Ketua Pegwwai Operasi Daikin Malaysia (DAMA), Ooi Cheng Suan (enam dari kiri) bertukar dokumen di majlis menandatangani memorandum persefahaman antara HRDF, DAMA dan JTM di Daikin Malaysia Sdn Bhd. - Foto Eizairi Shamsudin

Kerajaan bincang dengan MEF jenama semula sektor kerja 3D

SUNGAI BULOH: Kementerian Sumber Manusia mahu menemui Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) minggu depan, antara lain bagi membincangkan usaha penjenamaan semula sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan berbahaya).

Menterinya, M Kulasegaran, berkata pihaknya mahu mendapatkan pandangan mengenai perkara yang dicadangkan Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan, dalam program Bicara BH bertajuk Pengangguran Siswazah: Di Mana Silap, Apa Penyelesaian di Balai Berita, Bangsar di sini, semalam.

“Minta MEF beri tahu saya (idea menjenamakan semula sektor pekerjaan 3D) apabila kita bermesyuarat minggu depan.

“Kita ambil maklum perkara itu,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Daikin Malaysia dengan Jabatan Tenaga Manusia di sini, hari ini.

Dalam forum anjuran BH semalam, Shamsuddin mencadangkan supaya sektor pekerjaan khususnya dalam kategori 3D yang selama ini banyak dikuasai tenaga kerja asing, diberi suntikan penjenamaan semula supaya mampu menarik minat pekerja tempatan khususnya siswazah.

Beliau dilaporkan berkata, antara langkah yang boleh dipertimbang termasuk penggunaan teknologi dalam sektor dikenal pasti supaya selari dengan era industri kini yang semakin bergerak ke arah automasi dan mekanisasi.

Mengambil contoh kerja pembersihan sungai, Shamsuddin yakin pekerja tempatan termasuk siswazah pasti tertarik bekerja sekiranya majikan menyediakan mesin bersesuaian dilengkapi penghawa dingin dan gaji berpatutan.

Menerusi langkah itu, katanya, kebergantungan terhadap pekerja asing dapat dikurangkan termasuk dalam kategori pekerjaan 3D, apabila rakyat tempatan mulai mengisi kekosongan berkenaan.

Bagi menjayakan penjenamaan semula itu, beliau meminta majikan mengambil langkah berani untuk melabur dalam aspek teknologi memandangkan era industri hari ini semakin menuju automasi dan mekanisasi.

Dalam perkembangan lain, Kulasegaran berkata kerajaan boleh mempertimbangkan semula keputusan menghentikan pengambilan pekerja asing bagi empat subsektor perkhidmatan iaitu dobi, tekstil, tukang gunting dan tukang emas dalam tempoh tiga tahun lagi sekiranya ada keperluan.

“Setakat ini, ia adalah muktamad tetapi kalau ada sebab-sebab lain, kerajaan boleh pertimbang semula keputusan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas jumlah pekerja asing dalam empat subsektor itu yang bekerja di negara ini pada masa sekarang dan meminta ia dirujuk kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Berita Harian X